ALOR SETAR: Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah membuka tirainya hari ini sehingga Ahad nanti yang berlangsung di pekarangan Stadium Darul Aman di sini.

Pelbagai program menarik disajikan kepada pengunjung jelajah berkenaan antaranya terdapat jualan 'Happy Hour' iaitu seekor ayam dan beras lima kilogram (5kg) pada harga RM10 sahaja selain Karnival Kerjaya Jamin Kerja yang menawarkan lebih 4,000 jawatan kosong.

Selain itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang merupakan kementerian peneraju bagi Jelajah AKM Kedah itu turut mengetengahkan produk usahawan desa dalam Mini Karnival Usahawan Desa menerusi penganjuran Pavilion Usahawan Desa@KPLB pada jelajah berkenaan.

Pengunjung juga berpeluang membayar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pengurangan kadar saman sehingga 50 peratus selain dapat menikmati penukaran minyak enjin motosikal secara percuma anjuran Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pada esok dan Ahad sempena jelajah itu.

Sementara itu, perkhidmatan bas shuttle percuma MARA Liner disediakan untuk memudahkan pergerakan pengunjung ke stadium itu setiap sejam sekali bermula pada 9 pagi hingga 9 malam di dua laluan bas iaitu dari laluan Stesen Bas Shahab Perdana dan Pekan Rabu di sini.



AKM-KEDAH 2 (AKHIR) ALOR SETAR



Tarikan lain jelajah itu ialah penampilan penceramah terkenal Datuk Badli Shah Alauddin dan Ustaz Abdullah Khairi menyampaikan ceramah agama dalam Forum Perdana Keluarga Malaysia pada malam ini serta Konsert Gegaq@JAKM yang menampilkan barisan artis tanah air seperti Haqiem Rusli dan Khai Bahar pada malam esok.

Pertunjukan adat kebudayaan serta hasil kraftangan Orang Asli juga akan dipertontonkan kepada pengunjung yang merupakan satu daripada keistimewaan Jelajah AKM Kedah menerusi ruangan Perkampungan Orang Asli yang disediakan pada jelajah berkenaan.

Pengunjung yang bertuah juga akan mendapat kereta Perodua Axia untuk hadiah utama bagi acara cabutan bertuah.

Kemuncak Jelajah AKM Kedah itu ialah majlis perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan merasmikan jelajah itu pada 3 petang nanti selepas beliau menghadiri kenduri rakyat di Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang yang dijadualkan pada 11 pagi ini.

-- BERNAMA