SHAH ALAM: Kesesakan jalan raya di lebuh raya utama dan jalan Persekutuan dijangka berlaku berikutan warga kota pulang ke kampung sempena menyambut Aidilfitri.

Kenderaan persendirian juga dijangka bertambah di laluan utama menuju ke selatan, utara dan timur pada minggu akhir Ramadan berikutan cuti sekolah bermula pada 19 April ini.

Apa sekalipun keadaannya orang ramai dinasihati supaya merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan selain perlu berhati-hati agar tragedi tidak diingini tidak berlaku.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya kendaliannya pada hari-hari puncak bermula 20 April, sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata hari-hari puncak adalah pada 20 hingga 21 April; 24 hingga 25 April, 29 April hingga 1 Mei serta 4 hingga 7 Mei ini.

Beliau berkata, ia merupakan peningkatan 20 peratus kenderaan berbanding jumlah trafik pada hari-hari biasa.

Selain bekerjasama dengan pasukan keselamatan termasuk polis, PLUS juga akan menempatkan 269 pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUSRonda dan LPT2Ronda di rangkaian Lebuhraya PLUS termasuklah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menjangkakan kesesakan luar biasa berlaku terutama di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

Beliau turut menjangkakan kira-kira dua juta kenderaan dijangka memasuki Johor termasuk menerusi laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Sementara itu, anak Kelantan yang ingin pulang dinasihatkan menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) atau Lebuh Raya Timur Barat sebagai jalan alternatif untuk mengelak kesesakan yang dijangka berlaku di laluan Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya telah bersedia menghadapi pertambahan jumlah kenderaan dalam tempoh dua hingga tiga hari sebelum hari raya berikutan cuti hujung minggu dan cuti tambahan bagi sesi persekolahan.

Beliau berkata, sekiranya anak perantau menggunakan kedua-dua laluan yang boleh diakses melalui Terengganu dan Perak itu, keadaan kesesakan lalu lintas di Gua Musang akan terkawal. - Sinar Harian