KUALA LUMPUR:Pengarah Komunikasi Strategik PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil hari ini menafikan beliau ada mengeluarkan jemputan media mengenai sidang akhbar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin ini.

Ketika ditanya media mengenai keabsahan jemputan yang tular di media sosial itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai tersebut menegaskan ianya adalah palsu.

Jemputan tersebut menyebut Anwar akan mengadakan satu sidang media khas berkenaan satu pengumuman penting berkenaan ‘Demi Negara dan Mandat Rakyat’ di sebuah hotel di ibu negara.

Menurut kenyataan itu lagi, sidang media berkenaan akan dilakukan selepas selesai sidang perbahasan Dewan Rakyat pada Isnin ini.

BACA: Anwar akan bentang sokongan 113 Ahli Parlimen dalam masa terdekat?

Terdahulu sumber memberitahu Astro AWANI bahawa Anwar dikatakan sekali lagi akan cuba meyakinkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Sumber yang dekat dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu memberitahu Astro AWANI bahawa beliau sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk akuan bersumpah (SD).

Dengan jumlah tersebut, ia sekaligus memberi peluang kepada Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR, untuk menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.