NILAI: Kes jenayah komersial di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan dengan 1,747 kes direkodkan membabitkan kerugian berjumlah RM45.1 juta sejak Januari hingga Julai lepas, kata Ketua Polis negeri Datuk Ruslan Khalid.

Beliau berkata angka itu sedikit membimbangkan memandangkan kes jenayah komersial direkodkan sepanjang tahun lepas adalah sebanyak 2,671 kes dengan kerugian berjumlah RM42 juta manakala hanya 1,890 kes dicatat dengan nilai kerugian RM95.6 juta pada 2020.

Menurut Ruslan, daripada keseluruhan 1,747 kes, penipuan mencatatkan kes tertinggi iaitu 1,676 kes dengan kerugian RM39.7 juta diikuti Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (38 kes, RM27,420), pecah amanah jenayah (12 kes, RM4.8 juta), jenayah siber (11 kes, RM594,026), wang palsu (9 kes, RM1,300) dan pemalsuan satu kes.

"Kita telah mencapai era digital, jadi kebanyakan kes bertukar arah ke penipuan dalam talian termasuk macau scam dan love scam yang menunjukkan trend membimbangkan serta memberi ancaman serius kerana melibatkan kerugian jutaan ribu ringgit.

"Jenayah konvensional seperti ragut, curi, pecah rumah dan kekerasan menurun mungkin tahun lepas semua orang berada di rumah kerana COVID-19 tetapi apa yang meningkat ialah jenayah komersial sebab orang dah mula guna media sosial untuk jual dan beli barang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 'Townhall Discussion bersama Ketua Polis Negeri Sembilan' yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor di sini hari ini.

Ruslan berkata keadaan itu sekali gus memberi peluang kepada 'scammer' untuk beralih daripada jenayah konvensional kepada jenayah siber yang dilihat lebih mudah dilakukan selain kononnya memberi keuntungan segera.

Beliau berkata sindiket penipuan turut menggunakan sentimen emosi melalui perasaan kasih sayang dan kepercayaan bagi memperdaya mangsa walaupun pelbagai kempen dan platform digunakan pihak berkaitan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Kita lihat mereka (scammer) ambil kesempatan serang emosi sebab dalam diri kita ini ada sifat tamak, tak mahu kesunyian dan suka apabila tengok ada tawaran murah, itu yang menyebabkan masyarakat terdedah dengan sindiket itu dan terbabit dengan love scam, pelaburan tak wujud dan banyak lagi," katanya.

Mengenai townhall itu, beliau berkata ia sebagai usaha merapatkan hubungan masyarakat dan polis terutama dalam memberi kesedaran mengenai isu semasa dengan memfokuskan agensi kerajaan, pelajar sekolah serta orang awam.

Sementara itu, Ramli berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu penipuan dalam talian malah beberapa perkara mengenai isu itu turut dicadang dalam pindaan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

-- BERNAMA