MALAYSIA
Jenayah siber: Strategi penguatkuasaan dibawa ke Kabinet tahun ini - Gobind

Gobind Singh memberitahu strategi itu memberi tumpuan kepada kepercayaan digital serta keselamatan data, dan kerja-kerja penyediaan dokumen tersebut telah berjalan sejak sembilan bulan lalu. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: CyberSecurity Malaysia (CSM) telah menyediakan strategi penguatkuasaan dalam usaha memerangi jenayah siber di negara ini yang akan dibawa ke Kabinet pada tahun ini.
Ringkasan AI
- CyberSecurity Malaysia sedang membangunkan strategi penguatkuasaan keselamatan siber yang menekankan kepercayaan digital dan keselamatan data, dengan dokumen tersebut dijadual dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.
- Strategi ini merangkumi cadangan penubuhan agensi penguatkuasaan khusus serta penglibatan industri dan pakar dalam merangka ekosistem digital yang berkesan dan dipercayai.
- Malaysia turut memperkukuh landskap keselamatan siber melalui Akta Keselamatan Siber 2024 dan merancang membentangkan Rang Undang-Undang Jenayah Siber baharu bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang dianggap tidak relevan, susulan lebih 6,000 insiden jenayah siber dan kerugian melebihi RM1.22 bilion pada tahun lalu.
“Kami sedang meneliti satu strategi. CyberSecurity Malaysia (CSM) sedang membangunkan satu ekosistem yang khusus menangani isu kepercayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media kemuncak keselamatan 5G dan Operational Technology (OT) yang julung kali diadakan (5GOT) di Kuala Lumpur pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Digital Nasional Berhad, Datuk Azman Ismail.
Jelas Gobind lagi, kementeriannya juga sedang membangunkan strategi keselamatan siber yang komprehensif sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk maklum balas dan kelulusan selanjutnya.
“Saya telah arahkan mereka untuk bina strategi dahulu. Selepas itu kita bawa ke Kabinet. Kita akan dapatkan input daripada semua menteri berkaitan dan hanya selepas itu keputusan akan dibuat mengenai langkah seterusnya,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya meskipun CSM mempunyai keupayaan teknikal, keputusan berkaitan penguatkuasaan memerlukan pertimbangan lebih lanjut di peringkat Kabinet.
“Jika kita ada langkah-langkah, tetapi tiada pihak yang boleh menguatkuasakan, itu akan menjadi satu masalah. Oleh itu, kita juga sedang meneliti keperluan penubuhan agensi penguatkuasaan yang khusus,” tambahnya.
Gobind turut menekankan kepentingan melibatkan pihak industri serta pakar dalam perbincangan awal bagi merangka strategi berkesan membina ekosistem digital yang dipercayai.
"Ini termasuk perbincangan penting untuk membentuk strategi yang sesuai, merangka kaedah penguatkuasaan dan seterusnya mempersiapkan negara menghadapi cabaran dunia digital masa kini," katanya.
Sementara itu, Malaysia telah mengambil langkah tegas untuk memperkukuh landskap keselamatan sibernya termasuk Akta Keselamatan Siber 2024 yang telah berkuat kuasa pada 26 Ogos tahun lalu, memberi kuasa kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk menyelia pematuhan, menyelaras di seluruh sektor dan melindungi Prasarana Maklumat Kritikal Negara (NCII).
Beliau turut berkata Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber baharu dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Sesi Keempat Parlimen ke-15 pada Oktober ini.
RUU yang dicadangkan itu bertujuan menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang kini dianggap lapuk dan tidak relevan dalam menangani ancaman siber moden.
Berdasarkan data CyberSecurity Malaysia, terdapat lebih 6,000 insiden jenayah siber yang dilaporkan pada 2024, terutamanya yang terdiri daripada penipuan, pencerobohan dan kod niat tipu sekali gus Malaysia menanggung lebih RM1.22 bilion kerugian kewangan akibat jenayah siber sepanjang tahun lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami