ASEAN perlu perkukuh ekosistem inovasi untuk kekal mampan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berucap ketika merasmikan Cyberjaya Conversations Summit 2025 di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN perlu memperkukuh ekosistem inovasi secara kolektif dan mengelakkan bekerja secara berasingan bagi memastikan pertumbuhan serta ketahanan ekonomi kekal mampan dalam dekad akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- ASEAN perlu memperkukuh ekosistem inovasi secara kolektif bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan.
- Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (A-PAS-TI) 2026-2035 menjadi teras usaha untuk memacu agenda inovasi serantau secara bersama.
- Ahmad Zahid menekankan keperluan kerjasama rapat antara kerajaan, universiti, industri, pelabur, dan masyarakat sivil untuk menjadikan ASEAN pusat kecemerlangan sains dan teknologi.
Beliau berkata momentum inovasi semakin jelas di seluruh rantau ini, sambil menegaskan Malaysia kini berada di kedudukan ke-33 dalam Indeks Inovasi Global, satu petunjuk bahawa kemajuan ASEAN dicapai "bukan secara kebetulan, tetapi hasil pilihan yang tepat".
"Ini menunjukkan ASEAN semakin matang sebagai sebuah komuniti yang melabur dalam bakat, sains dan teknologi sebagai aset strategik. Dan semua ini tidak akan berhasil jika kita bergerak secara silo. Untuk membuka dekad pertumbuhan seterusnya, kerajaan perlu bekerjasama rapat dengan universiti, industri, pelabur dan masyarakat sivil."
"Barulah ASEAN dapat bergerak daripada sebuah rantau inovasi yang sedang muncul kepada salah satu pusat kecemerlangan sains dan teknologi paling dinamik di dunia," katanya ketika merasmikan Cyberjaya Conversations Summit 2025 di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
ASEAN kini terdiri daripada 11 negara anggota: Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan terbaru, Timor-Leste.
Ahmad Zahid berkata ASEAN juga perlu bersedia meneroka sempadan baharu, termasuk ekonomi angkasa lepas yang dijangka melebihi USD1 trilion di peringkat global dan menawarkan peluang besar untuk rantau ini.
Beliau berkata ASEAN berada pada kedudukan baik untuk menyertai sektor itu secara bermakna, dengan mengambil kira faktor geografi yang sesuai untuk pelancaran, pangkalan bakat yang semakin berkembang serta infrastruktur digital yang pesat meningkat.
"Dengan memanfaatkan teknologi satelit, perisikan geospatial dan aplikasi hiliran dalam pertanian, pengurusan bencana, komunikasi dan navigasi, saya percaya ASEAN mampu melangkah lebih jauh melepasi batas pembangunan tradisional.
"Ini bukan sekadar kemajuan teknologi, tetapi pembukaan nilai ekonomi baharu serta peningkatan kualiti hidup jutaan penduduk. Untuk ASEAN benar-benar bersaing di barisan hadapan ekonomi global, kita mesti memperkukuh jaringan yang menghubungkan rantau ini, iaitu infrastruktur idea, bakat dan teknologi," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


