Belanjawan Sabah 2026 dibentang 12 Dis ini - Masidi

Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun ketika sidang media selepas melapor diri di Pejabat Menteri Kewangan hari ini. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah yang baru dibentuk pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 dijadualkan membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 12 Disember ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan Sabah akan membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di DUN Sabah pada 12 Disember, selepas dibentuk pasca PRN ke-17.
- Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun, menyatakan fokus belanjawan kali ini adalah pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat, terutamanya yang berpendapatan rendah.
- Situasi ekonomi global yang mencabar, termasuk penurunan harga komoditi seperti minyak mentah, dijangka memberi kesan terhadap penyediaan Belanjawan Sabah 2026.
"Insya-Allah, kita bersedia untuk membentangkan Belanjawan 2026 pada 12 Disember ini. Tumpuan belanjawan negeri kali ini lebih kepada usaha untuk meneruskan momentum pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat.
"Kita fikir ada keperluan untuk meneruskannya agar impak lebih dapat dirasai sekali gus berupaya mengubah kehidupan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah," katanya pada sidang media selepas 'clock-in' di kementeriannya di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Masidi berkata situasi ekonomi global yang semakin mencabar susulan penurunan harga komoditi termasuk minyak mentah dijangka memberi kesan terhadap penyediaan Belanjawan Sabah 2026.
Beliau berkata harga minyak di pasaran antarabangsa kini menunjukkan trend menurun berbanding anggaran awal ketika perancangan belanjawan negeri itu dibuat.
"Bagaimanapun, kita mengharapkan ini tidak akan memberi impak terlalu besar kepada usaha kita untuk meneruskan momentum pembangunan, apatah lagi peruntukan disediakan untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya," katanya.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

