MELAKA: Jenazah Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semabok di sini pada 11.30 pagi tadi.

Hampir 800 ahli keluarga, sahabat seperjuangan, wakil Kementerian Belia dan Sukan, atlet lumba basikal dan orang kampung hadir mengiringi jenazah dari rumahnya di Jalan Semabok ke tanah perkuburan.

Sebelum itu, jenazah disolatkan di Masjid Al Abrar Semabok di sini.

Abu Samah, 82, meninggal dunia di Hospital Mahkota Melaka pada 7 malam semalam selepas setahun menghidap kanser prostat tahap empat.

Kesihatan Allahyarham semakin merosot sejak dua minggu lepas sebelum dimasukkan ke hospital pada Ahad kerana tiada selera makan.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Halimah Ali, 82, tujuh anak serta cucu dan cicit.

Abu Samah memegang jawatan sebagai presiden PKBM sejak 1990 dan melakar sejarah baharu dalam arena sukan tanah air apabila menerima Anugerah Merit Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) pada Mei lepas.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan beliau sebagai tokoh sukan pertama di negara ini yang menerima Anugerah Merit daripada badan induk dunia - Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI); benua - Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan wilayah serantau - ACF.

-- BERNAMA