Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Dasar pertahanan negara perlu bebas selera politik

Menteri Pertahanan menegaskan bahawa ancaman keselamatan hari ini semakin bersifat hibrid dan menggabungkan unsur konvensional dengan ancaman baharu seperti perang kognitif. - Gambar hiasan/Astro AWANI
Menteri Pertahanan menegaskan bahawa ancaman keselamatan hari ini semakin bersifat hibrid dan menggabungkan unsur konvensional dengan ancaman baharu seperti perang kognitif. - Gambar hiasan/Astro AWANI

Advertisement

KUALA LUMPUR: PEMBANGUNAN pertahanan negara adalah proses yang lama. Ia tidak berlaku semalam dan sering bergerak dalam jangka masa yang panjang. 

Sebuah kapal tempur mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina, diuji dan ditauliahkan sebelum bersedia untuk kegunaan operasi. Selepas diterima dan ditauliahkan sekalipun, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih memerlukan tempoh untuk memastikan aset tersebut benar-benar berfungsi seperti yang dirancang. 

Malah, penyelenggaraan dan penaiktarafan berkala akan turut diperlukan. Keadaan ini menyebabkan banyak keputusan yang dibuat hari ini hanya akan menampakkan hasil beberapa tahun kemudian, ketika kerajaan atau kepimpinan mungkin sudah berubah.

Maka itu, pertahanan tidak boleh bergerak mengikut rentak dan selera politik. Apatah lagi jika berlaku kitaran atau pertukaran yang terlalu kerap dalam tempoh yang singkat. Perubahan pentadbiran wajar membawa penyesuaian dasar, tetapi perkara tersebut tidak sepatutnya menyebabkan hala tuju pembangunan ATM terpaksa diheret untuk bermula kembali di titik awal. 

Negara akan kehilangan masa, sumber serta kredibiliti jika setiap pertukaran politik disusuli perubahan besar yang tidak berpunca daripada keperluan strategik. Apatah lagi bentuk ancaman pertahanan kini sedang berubah dengan pantas. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa ancaman keselamatan hari ini semakin bersifat hibrid dan menggabungkan unsur konvensional dengan ancaman baharu seperti perang kognitif. Ancaman seperti ini menuntut pembangunan keupayaan yang berterusan, bukan tindak balas yang berubah mengikut tekanan politik semasa.

Penegasan Menteri Pertahanan itu tidak bermakna yang agenda pertahanan tidak perlu dipantau dan disemak. Ia tetap perlu dibahaskan dengan teliti dan keputusan kerajaan mesti terus diawasi dengan tegas. Namun,perbezaan politik tidak sepatutnya mengganggu perkara yang sudah jelas penting kepada kesiagaan negara. 

Kritikan perlu memperbaiki dasar dan memastikan kesinambungannya kekal terpelihara, walaupun sesuatu usaha itu bermula di bawah pentadbiran yang berbeza. Tempoh membina keupayaan pertahanan tidak boleh dibandingkan atau disandarkan dengan tempoh hayat sesebuah kerajaan.

Kesiagaan Tidak Dibina Dalam Satu Penggal

Satu penggal kerajaan lazimnya berlangsung sekitar lima tahun. Pembangunan keupayaan pertahanan pula mengambil masa lebih panjang. Sesuatu program boleh bermula di bawah satu pentadbiran dan hanya mencapai tahap kesiagaan beberapa tahun kemudian. Perbezaan tempoh ini menjadikan kesinambungan dasar dan hala tuju sangat penting.

Jika haluan berubah terlalu kerap, terutamanya tanpa alasan yang kuat, kesannya akan dirasai pada pembangunan keupayaan. Peruntukan yang sudah dibelanjakan mungkin gagal menghasilkan kesiagaan seperti yang dirancang. Akhirnya, ATM terpaksa menyesuaikan semula perancangan yang telah dibina lebih awal dengan keputusan kerajaan sedia ada. 

Kitaran sebegini sangat tidak produktif dan hanya merugikan semua pihak. Negara tidak akan benar-benar berpeluang membina keupayaan yang baik jika ATM disibukkan dengan paksaan mengikut kemahuan dan selera pentadbiran setiap kali kerajaan bertukar.

Malaysia sebenarnya sudah mempunyai kerangka yang jelas. Kertas Putih Pertahanan menetapkan hala tuju transformasi ATM sehingga 2030. Pelan Strategik Pertahanan Negara bersama Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan 2026-2030 yang dilancarkan oleh Menteri Pertahanan baru-baru ini juga telah memperincikan landasan pelaksanaannya.

Jika dilihat kepada Belanjawan 2026, sebanyak RM21.74 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan, termasuk kira-kira RM6 bilion bagi perolehan aset strategik. Semua ini sebetulnya hanya memerlukan kesinambungan supaya perancangan dapat diterjemahkan kepada keupayaan sebenar. 

Namun, kesinambungan tidak bermaksud dasar mesti kekal tanpa perubahan. Ancaman dan cabaran pertahanan sentiasa berubah. Maka fokus dan keutamaan juga perlu disesuaikan. Norway mencontohkan perkara ini dengan jelas. Pelan Pertahanan Jangka Panjang 2025–2036 diluluskan sebulat suara oleh Storting pada 2024. 

Dua tahun kemudian, semua parti sekali lagi menyokong pelan yang dikemas kini dengan tambahan NOK121 bilion. Beberapa keutamaan disusun semula mengikut perubahan persekitaran keselamatan, tetapi hala tuju utama pembangunan pertahanan dikekalkan.

Denmark pula menggunakan pendekatan yang hampir sama melalui Perjanjian Pertahanan 2024–2033. Kerangka sepuluh tahun itu mendapat sokongan majoriti besar parti di Folketing, sementara keputusan khusus dibuat secara berperingkat melalui perjanjian susulan. Susunan ini membolehkan keperluan baharu ditangani tanpa merombak keseluruhan hala tuju pertahanan.

Politik Matang, Pengawasan Kekal

Dalam kedua-dua kes ini, yang jelas adalah konsisten dan kestabilan dalam pelan dan hala tuju yang dibangunkan. Ia tidak dirombak, atau lebih teruk dibatalkan berdasarkan selera politik. Kesinambungan dasar terus berjalan sekali pun berlaku semakan dan penambahbaikan. Hala tuju strategik dikekalkan, sementara pelaksanaannya berubah mengikut ancaman dan kemampuan semasa.

Malaysia berdepan keperluan yang sama. Politik dan pentadbiran negara boleh berubah. Akan tetapi, proses pembinaan keupayaan ATM tidak boleh sentiasa bermula semula. Pengawasan tetap penting. Parlimen perlu meneliti perbelanjaan pertahanan dan mempersoalkan kelewatan atau keputusan yang tidak mencapai sasaran. Perbahasan seperti ini menguatkan pertahanan kerana setiap keputusan perlu dipertahankan dengan alasan yang jelas.

Masalah timbul apabila pertimbangan kepartian mula menentukan sama ada sesuatu program diteruskan atau dihentikan. Kesinambungan dasar dan agenda tidak menuntut semua pihak bersetuju dengan setiap keputusan kerajaan. 

Persetujuan cukup pada hala tuju utama, sementara pelaksanaan harus terus terbuka kepada semakan dan penambahbaikan. Kerajaan boleh bertukar dan keutamaan boleh disesuaikan, tetapi pembangunan keupayaan ATM perlu dinilai berdasarkan keperluan strategik yang sama.

Ukuran akhirnya mudah. Banyak keputusan pertahanan yang dibuat hari ini hanya akan menunjukkan hasil di bawah pentadbiran yang mungkin berbeza. Kesiagaan ATM bergantung pada kemampuan negara meneruskan agenda yang mempunyai asas strategik yang kukuh, sambil tetap membenarkan semakan apabila keadaan berubah.

Agenda pertahanan yang kalis politik tidak menutup ruang perbahasan. Ia memastikan perbahasan tidak memutuskan kesinambungan yang diperlukan untuk membina keupayaan negara dalam jangka panjang. Jika tidak, kita akan terus menjadi negara yang tidak berhenti memperkenalkan dasar dan agenda baharu setiap kali kerajaan bertukar. Sedangkan hasilnya tetap tidak kelihatan.


  • Shah Mohd Akmal Abdul Halim ialah pensyarah di Jabatan Sains Sosialdan Kemanusiaan, Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

** Semua hantaran dan pandangan di akaun ini adalah milik peribadi penulislah sepenuhnya dan tidak menggambarkan pendirian rasmi mahupun mewakili Astro AWANI.

 

Must Watch Video

Advertisement