Jenazah enam sekeluarga mangsa kemalangan jalan raya di Gua Musang selamat dikebumikan di dua lokasi berbeza kira-kira jam 11.40 malam tadi.

Jenazah Noor Azila Yasin, 28, bersama anaknya, Muhammad Hadif Haykal Muhd Hafiz, dua tahun, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Chiku 2 di sini.

Manakala, empat jenazah lain iaitu Nur Amira Adzudin, 23, Madiah Drani, 49 dan pasangan kembar, Siti Nur Raudah Abdul Rahman, empat, Siti Nur Batrisya Abdul Rahman, empat, turut dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggong Lalat di sini.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Muhd Hafiz Adzudin, 30, yang juga penumpang hadapan dan mengalami kecederaan patah tangan kiri turut hadir di majlis pengebumian ibunya Madiah serta adiknya Nur Amira.

Kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua buah lori di KM25 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Rantau Manis semalam. - fotoBERNAMA
Sebelum itu, enam jenazah itu disembahyangkan di Hospital Gua Musang dan di tanah perkuburan.

Dalam kejadian pagi Sabtu, hajat satu keluarga yang tinggal di Kampung Panggong Lalat itu untuk menziarahi saudara yang sakit bertukar tragedi apabila kereta Proton Persona yang mereka naiki terbabit dalam nahas jalan raya di KM25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai.