Jenazah petugas MAHB parah kemalangan selamat dikebumikan

Aida Aziz
Mac 20, 2019 14:29 MYT
Balu Allahyarham Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, Nor Azawiah Md Usuf menyiram air di atas pusara suaminya setelah jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belingkor hari ini. - Foto BERNAMA
Jenazah juruteknik Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, yang meninggal dunia semalam, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belingkor, Batu Gajah pada Rabu.
Allahyarham Mohd Ruzaimi meninggal dunia semalam selepas parah dalam kemalangan di landasan dengan pesawat persendirian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada Isnin.
Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Batu Gajah sebelum dikebumikan pada jam 5.45 petang.
Ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan Allahyarham turut hadir di majlis pengebumian itu.
Mohd Ruzaimi menghembuskan nafas terakhir jam 6.45 petang Selasa di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor serta meninggalkan seorang isteri Nor Azawiah Md Usuf dan empat anak berusia setahun hingga 13 tahun.
BACA: Kakitangan Malaysia Airports parah kemalangan dengan pesawat persendirian
BACA: Kakitangan Malaysia Airports parah kemalangan di landasan meninggal dunia
Difahamkan dalam kejadian 3.20 pagi itu, Allahyarham dipercayai berada dalam Perodua Kembara milik syarikat berkenaan untuk memantau kerja penyelenggaraan di landasan.
#Kakitangan Malaysia Airports parah kemalangan #Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali #pesawat persendirian #petugas Malaysia Airports #selamat disemadikan #Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belingkor