KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dibawa ke kediaman keluarga bagi memberi ruang kepada ahli keluarga serta kenalan terdekat mengadakan bacaan Yasin sebelum urusan pengebumian dijalankan.
Allahyarham yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi tadi.
Perkara itu disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari IJN pada jam 10.48 pagi dengan diiringi ahli keluarga, termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menurut keluarga, jenazah dijadualkan dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur pada jam 1.30 petang bagi urusan jenazah.
Orang ramai diberi peluang memberikan penghormatan terakhir di masjid berkenaan dari jam 3 petang hingga 4 petang.
Jenazah Allahyarham akan disolatkan selepas solat Asar yang dijadual berlangsung pada jam 4.15 petang sebelum solat jenazah dilaksanakan.
Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Pusara Negara pada jam 4.30 petang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya.
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah, yang berusia 100 tahun, dikenang sebagai tokoh wanita negara yang banyak berjasa dalam bidang perubatan, kebajikan masyarakat dan pembangunan negara.