PASIR MAS: Jenazah Farrah Emirah Mazlan, 26, yang ditemukan mati dengan kesan tembakan pada perut dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan di Kampung Repek, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bechah Kelubi, di sini, pada Ahad.

Lebih 50 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung hadir ke pengebumian pada jam 4.30 petang itu.

Terdahulu, suasana sedih menyelubungi kediaman keluarga Allahyarhamah di Bukit Lata di sini, sejurus jenazah tiba selepas selesai menjalani proses  bedah siasat di Hospital Pasir Mas, pada jam 2.20 petang.

Seorang anak mangsa yang berusia 10 tahun, ketika ditemui berkata, dia hanya mengetahui penemuan mayat ibunya selepas dimaklumkan oleh rakannya.

Tembak Wanita Hamil | Kejadian mungkin akibat cemburu

BACA: Wanita hamil mangsa tembakan merupakan ibu tunggal tiga anak

BACA: Wanita mengandung ditemui maut dengan kesan tembakan pada perut

Media sebelum ini melaporkan mangsa yang hamil tujuh bulan ditemukan maut dengan kesan tembakan pada perut, dalam sebuah kereta jenis Nissan Cefiro yang  diparkir di tepi jalan, di Kampung Repek menghala ke Kampung Teresek, di sini, jam 4 petang Sabtu.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad  Zaki Harun, hasil keterangan saksi awam mendapati kenderaan mangsa berada di tepi jalan sejak petang Jumaat.

Mangsa yang juga ibu tunggal, meninggalkan tiga orang anak berusia dari tiga hingga 10 tahun.