CYBERJAYA: Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa kedua (2023-2025) dijangka dimulakan pada suku pertama 2023, kata Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Beliau berkata MCMC perlu terlebih dahulu membentangkan sasaran dan perkara berkaitan mengenai fasa kedua itu, serta menunggu 'lampu hijau' daripada Kementerian Komunikasi Digital (KKD) dan menterinya Fahmi Fadzil berkenaan pelaksanaan tersebut.

"Kita boleh cuba lakukan yang terbaik bermula dari awal. Kita akan bentang di kementerian, bila kita ada 'persetujuan' daripada menteri, barulah kita boleh mulakan," katanya kepada Bernama dan RTM mengenai status JENDELA fasa kedua selepas menyempurnakan Majlis Penutup 'Accelerated Leadership Program (ALP) Series Cohort 1' di sini hari ini.

"Sasaran fasa kedua ialah untuk melengkapkan kesalinghubungan bagi baki tiga peratus penduduk dalam komuniti. Ia merupakan kawasan yang paling mencabar iaitu di pedalaman dan terpencil termasuk kawasan perkampungan Orang Asli," katanya.

Menurutnya, JENDELA fasa pertama yang selesai pada Disember 2022 telah mencapai liputan 4G sebanyak 96.92 peratus manakala dari segi kelajuan, ia mencapai 77 megabit sesaat (Mbps) berbanding sasaran awal 35 Mbps.

Mengenai ALP yang julung kali diadakan, beliau berkata ia merupakan kolaborasi strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan 39 kakitangan MCMC berjaya menamatkan program tersebut yang bermula tahun 2020 hingga 2022.

Program tersebut ditaja sepenuhnya oleh MCMC bagi pembangunan kepimpinan khusus untuk kakitangannya yang terdiri daripada kumpulan eksekutif senior dan junior, berdasarkan model kecekapan tingkah laku dan ciri kepimpinan digital.

-- BERNAMA