NATIONAL
Jentera hempap kereta, kontraktor berdepan tindakan - Fadillah

Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) memperuntukkan penalti tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. - Foto JBPM
Kontraktor projek pembinaan yang terlibat dengan insiden jentera cerucuk besi menghempap kereta di Bandar Baru Bukit Raja, Klang baru-baru ini berdepan hukuman denda, penjara dan disenarai hitam jika didapati bersalah.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jika hasil siasatan mendapati kontraktor cuai dalam memastikan keselamatan dan kerja pembinaan, mereka boleh dihukum di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).
Katanya, seksyen-seksyen tertentu di bawah akta itu memperuntukkan penalti tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Hee mahu tahu apakah tindakan yang telah diambil kementerian susulan kejadian 4 Nov itu yang mengorbankan Abd Rahim Abd Rahman, 51, dan isterinya, Nurhayati Rosli, 46, yang merupakan warga Indonesia.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) telah mengarahkan kerja pembinaan dihentikan serta-merta bagi tujuan siasatan oleh DOSH dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Mengulas lanjut, Fadillah berkata hasil pemerhatian ketua jurutera tempatan projek, mendapati sebuah mesin cerucuk telah terbalik semasa beralih lokasi pemasangan cerucuk di jambatan merentangi Jalan Persiaran Astana.
"Punca kejadian kemungkinan disebabkan pergerakan mesin cerucuk yang terkeluar daripada plat besi pengalas lalu terbenam dan terbalik," katanya. -- Bernama
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami