Pentadbiran kerajaan sedang terus menjalani proses ‘pembersihan’ sehingga semuanya komited dan berdedikasi untuk membangunkan negara kembali menjadi ‘Harimau Asia.’

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau berpuas hati setakat enam hingga tujuh bulan memimpin dan yakin Malaysia akan kembali disegani seperti sedia kala.

Jelasnya, untuk mengembalikan pentadbiran yang baik dan mampu memperkasa negara, mereka yang terlibat dalam salah laku terdahulu perlu diketepikan serta diambil tindakan, dan digantikan dengan mereka yang dedikasi dan bersungguh untuk membangunkan negara.

Pada masa sama, langkah-langkah pencegahan sudah dimulakan, antaranya dengan tidak lagi melantik ahli politik memegang jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan dan institusi di bawahnya.

“Ahli politik tak boleh pegang jawatan tinggi dalam badan-badan tertentu kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai kelulusan, kecekapan dan sebagainya.

“Hasrat mereka untuk jadi pegawai tinggi bukanlah untuk menjayakan institusi, tapi kepentingan diri. Ini sudah dihentikan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan di sini pada Sabtu.



Dr Mahathir berkata, pembersihan tidak boleh disempurnakan dalam masa yang singkat kerana masih ada lagi di kalangan dalam kerajaan yang tidak komited terhadap tanggungjawab yang digalas.

Jentera kerajaan mesti tersusun rapi, cekap dan mengutamakan khidmat kepada negara, bukan untuk diri sendiri, tegasnya.

Sepertimana selalu, beliau sekali lagi mengingatkan supaya perlu ada rasa sayang yang mendalam terhadap negara supaya setiap gerak kerja dilakukan dengan ikhlas dan penuh dedikasi untuk tanah air tercinta.

Sememangnya, tambah beliau, khidmat bakti ikhlas mungkin tidak selalu mendatangkan keuntungan besar sepertimana diharapkan.

Namun, kata Dr Mahathir, apabila negara menjadi maju hasil kerja keras mereka, seluruh rakyat akan mendapat nikmatnya dalam bentuk keselesaan dan kebahagiaan hidup.

Nikmat yang dimaksudkan ialah seperti meningkatnya kuasa membeli, biasiswa pelajaran yang lebih meluas dan pelbagai lagi.

Terdahulu, Menteri menghadiri sesi permuafakatan dan menerima memorandum daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan yang mengandungi 24 resolusi dan lima tema sebagai penyataan hasrat dalam usaha memperbaiki jentera perkhidmatan awam.

Beliau pada masa sama turut memaklumkan bahawa akan ada beberapa siri sesi sama lagi untuk memperkenalkan dasar kerajaan baharu dan peranan yang akan dimainkan oleh jentera kerajaan.