KUALA LUMPUR: Jepun menyatakan hasrat untuk membantu menarik lebih ramai pelabur dari negara itu ke Malaysia, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi hasrat itu, Perdana Menteri berkata, ia akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus merancakkan kembali ekonomi negara.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Presiden Persatuan Ekonomi Jepun Malaysia (JAMECA), Tsuyoshi Nagano yang juga Pengerusi Tokyo Marine Holdings Inc dan Setiausaha Agung Persatuan Kazuto Sasaki di Jepun, pagi Jumaat.

"Dasar Pandang ke Timur yang dimulakan 40 tahun lalu menjadikan Malaysia antara destinasi pelaburan yang strategik bagi syarikat terutamanya dari negara matahari terbit, sekali gus menjadi penyumbang kemajuan pelbagai sektor di negara kita," katanya menerusi kenyataan di Facebook, di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri memberitahu, dalam tempoh Januari hingga Mac lalu, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun meningkat sebanyak 13.3 peratus dengan RM41.75 bilion (AS$9.96 billion) berbanding RM36.86 bilion (AS$9.07 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2021.

Katanya, pada tempoh berkenaan, jumlah eksport Malaysia ke Jepun juga meningkat sebanyak 19.6 peratus iaitu RM22.68 bilion (AS$5.41 bilion) berbanding RM18.96 bilion (AS$4.66 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2021.

"Dalam pertemuan ini, JAMECA turut menyatakan hasrat untuk mengadakan Seminar Dasar Pandang ke Timur pada 1 Ogos 2022 nanti," jelasnya.

JAMECA ditubuhkan secara rasmi pada 1977 di Kuala Lumpur dengan tujuan untuk mempromosikan keharmonian hubungan ekonomi antara Malaysia dan Jepun.