Keadaan jerebu yang melanda negara sehingga kini mengakibatkan 890 sekolah di Sarawak dan 250 sekolah di Perak ditutup hari ini.

Penutupan itu melibatkan 104 sekolah menengah dan 705 sekolah rendah di Sarawak membabitkan 252,237 pelajar, manakala di Perak menjejaskan 137 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Larut Matang dan Selama, 71 sekolah (PPD Kerian), 38 sekolah (PPD Kuala Kangsar) dan empat sekolah di bawah PPD Hulu Perak dengan jumlah keseluruhan pelajar seramai 88,028 orang.

Selain penutupan sekolah, jerebu turut menyebabkan pusingan kedua kejohanan Golf PGM MNRB ADT hari ini terpaksa ditangguhkan sehingga Jumaat (19 Sept) berikutan cuaca buruk di sekitar lapangan Kelab Golf Sarawak di Kuching.

Pusingan kedua itu sepatutnya bermula 7.30 pagi Khamis, tetapi ditangguh sehingga 1 tengah hari, namun penganjur memutuskan untuk tidak meneruskan saingan pada hari kedua selepas keadaan jerebu bertambah buruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 273 pada waktu itu.

Sementara itu, semua penerbangan dijadual di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Perak terpaksa dibatalkan lagi akibat jerebu, melibatkan laluan Singapura-Ipoh-Johor Bahru daripada syarikat AirAsia Bhd; laluan Ipoh-Johor Bahru-Ipoh (Malindo) dan syarikat penerbangan tambang murah Singapura, FlyScoot dari laluan Singapura-Ipoh-Singapura.

Keadaan jerebu juga menyebabkan kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengedarkan kira-kira dua juta topeng penutup hidung dan mulut kepada pelajar di kawasan yang mengalami jerebu, iaitu 500,000 diberikan di Sarawak manakala 1.5 juta keping di negeri-negeri terlibat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga menetapkan harga maksimum runcit untuk barang harga kawalan bagi lima jenis topeng berkenaan dan tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga topeng secara tidak munasabah.

Sehingga kini, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) hanya menunggu 'lampu hijau' daripada Kabinet bagi mendraf Akta Jerebu Rentas Sempadan.

Yeo berkata operasi pembenihan awan pagi ini yang bermula di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang merupakan kali ketiga dilakukan setelah terdapat awan yang sesuai hari ini dan menurutnya jika keadaan awan sesuai, akan diadakan satu lagi operasi pembenihan awan di Sarawak.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di enam kawasan di Sarawak yang terjejas teruk tengah hari tadi mula mencatat penurunan bacaan IPU sehingga 5 petang ini, namun status kualiti udara masih kekal di tahap sangat tidak sihat iaitu di Mukah (205), Samarahan (220), Sri Aman (210), Sarikei (238), Sibu (247) dan Kuching (265).

Menurut portal itu, hanya beberapa kawasan di Sarawak sahaja yang mempunyai kualiti udara di tahap sangat tidak sihat manakala negeri lain mencatat bacaan tidak sihat iaitu di Perak (Tasek Ipoh, Pegoh Ipoh); Wilayah Persekutuan (Batu Muda, Cheras, Putrajaya); Selangor (Kuala Selangor, Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Banting); dan Negeri Sembilan (Nilai, Seremban, Port Dickson).

Melaka (Alor Gajah, Bukit Rambai, Bandaraya Melaka); Johor (Segamat, Batu Pahat, Kluang, Larkin, Tangkak); Terengganu (Kemaman, Kuala Terengganu, Paka); Pulau Pinang (Seberang Jaya, Minden, Balik Pulau), dan Kedah (Sungai Petani) juga mencatat kualiti udara tidak sihat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-- BERNAMA