Skip to main content

Malaysia

Jerebu: 17 kawasan catat IPU tidak sihat, Johor paling terjejas

Pemandangan di Pulau Tinggi diselubungi jerebu sehingga menjejaskan jarak penglihatan. - Foto BERNAMA
Pemandangan di Pulau Tinggi diselubungi jerebu sehingga menjejaskan jarak penglihatan. - Foto BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pagi ini, dengan Johor muncul negeri paling terjejas akibat keadaan jerebu yang semakin meruncing.

Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Batu Pahat mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu 183, diikuti Kluang (169), Larkin (167), Segamat (165), Pasir Gudang (164) dan Tangkak (161).

Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Nilai (159), Seremban (156), Kota Tinggi (155), Pengerang (154), Putrajaya (152), Bandaraya Melaka (152), Balok Baru, Kuantan (152), Rompin (151), Cheras (132), Kemaman (109) dan Indera Mahkota, Kuantan (106).

Berdasarkan kategori APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat dan boleh menjejaskan kesihatan golongan sensitif seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit pernafasan dan jantung.

Sementara itu, 47 stesen pemantauan mencatat bacaan sederhana dengan nilai IPU antara 51 hingga 100.

Antara kawasan yang hampir memasuki kategori tidak sihat ialah Bukit Rambai, Melaka; Paka, Terengganu dan IPD Serian, Sarawak yang masing-masing merekodkan bacaan 99.

Di Lembah Klang, Batu Muda merekodkan IPU 98, Shah Alam dan Banting masing-masing 90, Petaling Jaya (89) serta Klang (82).

Sebanyak empat kawasan masih menikmati kualiti udara pada tahap baik iaitu Minden, Pulau Pinang (50), Kangar, Perlis (39), Langkawi, Kedah (29) dan Balik Pulau, Pulau Pinang (26).

Johor menjadi negeri paling terjejas apabila lapan daripada 10 bacaan IPU tertinggi negara direkodkan di negeri itu, menunjukkan keadaan jerebu yang lebih ketara berbanding kawasan lain.

Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka ketika berada di kawasan terbuka serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami sesak nafas, batuk berpanjangan atau iritasi mata akibat jerebu.

Data IPU boleh disemak menerusi laman web APIMS yang dikendalikan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
 

 

Must Watch Video

Advertisement