Skip to main content

Malaysia

Penolong akauntan kanan MDM dipenjara setahun, denda RM75,000 salah guna kuasa

Sazawati didakwa mencadangkan sebut harga daripada Edaran Sepakat Trading bagi melaksanakan kerja pemasangan karpet di ruang pejabat dan bilik pegawai Bahagian Kewangan MDM bernilai RM10,640 pada 2021. - Foto Bernama
Sazawati didakwa mencadangkan sebut harga daripada Edaran Sepakat Trading bagi melaksanakan kerja pemasangan karpet di ruang pejabat dan bilik pegawai Bahagian Kewangan MDM bernilai RM10,640 pada 2021. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Penolong akauntan kanan Majlis Daerah Marang dihukum penjara setahun dan denda RM75,000 kerana menyalahgunakan kuasa mencadangkan syarikat suaminya untuk kerja pejabat.
  • Mahkamah memerintahkan penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda, namun membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan.
  • Kesalahan dilakukan pada Januari 2021 di Bahagian Kewangan MDM mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Penolong akauntan kanan Majlis Daerah Marang (MDM) hari ini dihukum penjara setahun dan denda RM75,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menyalahgunakan kuasa dengan mencadangkan syarikat milik suaminya bagi kerja pemasangan karpet pejabat, lima tahun lepas.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu terhadap Sazawati Salleh, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan. 

Mahkamah turut memerintahkan Sazawati dipenjara tujuh bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Advertisement

Dalam penghakimannya, Azman berkata kepentingan awam perlu diutamakan bagi memastikan kesalahan seumpama itu tidak terus berleluasa.

“Bagaimanapun, saya juga mengambil kira ini adalah kesalahan pertama Orang Kena Tuduh (OKT). Hukuman yang terlalu berat boleh mendatangkan kemudaratan kepada beliau,” katanya.

Advertisement

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini, namun peguam Datuk Sukri Mohamed yang mewakili Sazawati memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dengan menetapkan syarat Sazawati perlu memfailkan notis rayuan lengkap serta menambah wang jaminan RM2,000 daripada jumlah asal RM5,000, dengan seorang penjamin.

Sazawati didakwa mencadangkan sebut harga daripada Edaran Sepakat Trading bagi melaksanakan kerja pemasangan karpet di ruang pejabat dan bilik pegawai Bahagian Kewangan MDM bernilai RM10,640 pada 12 Jan 2021.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Kewangan MDM mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nur Amalina Najwa Mohd Ali dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Mohd Yusof.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement