Skip to main content

Malaysia

Jerebu: 27 kawasan catat IPU tidak sihat, Pasir Gudang tertinggi setakat 7 pagi

Johor kekal sebagai negeri yang paling terjejas dengan lapan kawasan merekodkan bacaan tidak sihat. - Foto BERNAMA
Johor kekal sebagai negeri yang paling terjejas dengan lapan kawasan merekodkan bacaan tidak sihat. - Foto BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 7 pagi ini, dengan Pasir Gudang, Johor mencatat bacaan tertinggi iaitu 176.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan lain yang turut mencatat bacaan tidak sihat termasuk Nilai, Negeri Sembilan (173), Johan Setia, Selangor (172), Klang, Selangor (170) dan Bukit Rambai, Melaka (169).

Di Wilayah Persekutuan, Cheras merekodkan bacaan IPU 165 manakala Putrajaya mencatat 164 dan Batu Muda 162.

Johor kekal sebagai negeri yang paling terjejas dengan lapan kawasan merekodkan bacaan tidak sihat, termasuk Larkin (165), Kota Tinggi (165), Pengerang (162), Batu Pahat (155), Kluang (152) dan Tangkak (152).

Di Selangor, tujuh kawasan mencatat tahap tidak sihat iaitu Johan Setia, Klang, Banting (160), Shah Alam (158) dan Petaling Jaya (152).

Negeri Sembilan turut merekodkan tiga kawasan tidak sihat membabitkan Nilai, Port Dickson (164) dan Seremban (159), manakala Melaka mencatat tiga kawasan iaitu Bukit Rambai (169), Bandaraya Melaka (164) dan Alor Gajah (155).

Turut mencatat bacaan tidak sihat ialah Kemaman (155) dan Paka (154) di Terengganu, Rompin (153) dan Indera Mahkota, Kuantan (153) di Pahang, serta IPD Serian (153) dan Sri Aman (140) di Sarawak.

Sementara itu, 40 stesen merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana, dengan bacaan tertinggi direkodkan di Sandakan, Sabah iaitu 96, diikuti Kuala Terengganu (94) dan Samarahan, Sarawak (94).

Hanya satu kawasan berada pada tahap baik iaitu Langkawi, Kedah dengan bacaan IPU 41.

Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 berbahaya.

Orang ramai khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit pernafasan dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka ketika keadaan jerebu berterusan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement