KUALA LUMPUR: Situasi jerebu di seluruh negara dilapor stabil tanpa perubahan ketara dengan 25 kawasan kekal mencatatkan kualiti udara pada tahap tidak sihat setakat jam 6 petang ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Batu Muda di Kuala Lumpur dan Johan Setia di Selangor berkongsi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi negara pada paras 171.
Shah Alam dan Bukit Rambai masing-masing merekodkan bacaan 168, diikuti Cheras dan Petaling Jaya (167), Klang serta Nilai (165), Putrajaya (163) dan Banting (162).
Di Negeri Sembilan, Seremban mencatatkan bacaan 159 manakala Port Dickson merekodkan bacaan 155.
Di Melaka, Bukit Rambai meningkat dua mata kepada 168, sementara Alor Gajah dan Bandaraya Melaka kekal pada bacaan 157.
Di Johor, Larkin mencatatkan bacaan 158. Pasir Gudang merekodkan bacaan 156, manakala Kota Tinggi mencatatkan 155. Batu Pahat, Kluang dan Pengerang masing-masing merekodkan bacaan 154, sementara Tangkak berada pada paras 153.
Di Perak, Tasek Ipoh mencatatkan bacaan 153 dan Pegoh Ipoh 137. Tanjung Malim pula kekal dalam kategori tidak sihat walaupun mencatatkan penurunan enam mata kepada bacaan 106.
Paka di Terengganu kekal sebagai satu-satunya kawasan tidak sihat di Pantai Timur dengan bacaan 154. Semua stesen pemantauan di Pahang pula kekal dalam kategori sederhana dengan Temerloh mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 98.
Di Sabah dan Sarawak, semua stesen pemantauan terus berada dalam kategori sederhana atau baik. Antara bacaan tertinggi direkodkan di Samarahan (81), IPD Serian (73), Kuching (72) dan Sri Aman (72).
Sementara itu, lapan kawasan berada dalam kategori baik (IPU 0 hingga 50). Kimanis di Sabah merekodkan bacaan terbaik pada paras 27, diikuti Langkawi (33), ILP Miri, Miri dan Kota Kinabalu (41), Limbang (42), Politeknik Kota Kinabalu (43) serta Balik Pulau (48).