Situasi jerebu di negara ini belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Sebahagian besar bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan hari ini tidak menunjukkan perbezaan ketara dengan yang dicatatkan malam tadi.

Pencerapan Jabatan Alam Sekitar sehingga 7 pagi menunjukkan tiada kawasan mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat.

Bagaimanapun, 17 kawasan masih merekodkan IPU tidak sihat, dengan IPU tertinggi direkodkan di Langkawi, Kedah (173), diikuti Kuala Selangor, Selangor (138) dan Pelabuhan Kelang, Selangor (128).

IPU sederhana pula direkodkan di 22 kawasan lain.

IPU tertinggi dicatat di Wilayah Persekutuan Putrajaya (100), Petaling Jaya, Selangor (100) dan SK Jalan Pegoh, Ipoh, Perak (98).

Beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak pula mencatat bacaan IPU antara baik dan sederhana.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh melayari laman web http://apims.doe.gov.my/v2/ untuk maklumat lanjut berhubung bacaan IPU semasa.