Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Jerebu di Sarawak makin reda, hanya tiga stesen kekal tidak sihat setakat 5 petang

Berdasarkan data pengurusan kualiti udara terkini, Kuching mencatatkan penurunan 30 mata kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 100, sekali gus keluar daripada kategori tidak sihat. -Gambar fail/Bernama
Berdasarkan data pengurusan kualiti udara terkini, Kuching mencatatkan penurunan 30 mata kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 100, sekali gus keluar daripada kategori tidak sihat. -Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Krisis jerebu di Sarawak terus menunjukkan perkembangan positif apabila Kuching kembali ke kategori sederhana setakat jam 5 petang ini, sekali gus mengurangkan jumlah kawasan tidak sihat di negeri itu kepada tiga stesen.

Berdasarkan data pengurusan kualiti udara terkini, Kuching mencatatkan penurunan 30 mata kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 100, sekali gus keluar daripada kategori tidak sihat.

Kini hanya tiga stesen di Sarawak masih berada dalam kategori tidak sihat, iaitu Serian (155), Sarikei (152) dan Sibu (149).

Stesen pengawasan kualiti udara di Serian terus merekodkan bacaan tertinggi negara dengan IPU 155, turun satu mata berbanding jam 4 petang.

Sarikei pula kekal pada bacaan 152 manakala Sibu menunjukkan peningkatan kualiti udara selepas bacaannya turun tiga mata kepada 149.

Bagi kawasan dalam kategori sederhana di Sarawak, Mukah dan Samarahan masing-masing mencatat bacaan 98, diikuti Samalaju (92), Bintulu (88) dan Sri Aman (82).

Di Semenanjung Malaysia, kualiti udara kekal pada tahap baik dan sederhana.

Batu Muda di Kuala Lumpur merekodkan bacaan tertinggi di Semenanjung pada paras 77, diikuti Kluang (74), serta Nilai dan Paka yang masing-masing mencatat bacaan 72.

Seremban pula merekodkan bacaan 62.

Bagi kawasan dalam kategori baik, Kuala Selangor mencatat bacaan tertinggi pada paras 49, diikuti Limbang dan Labuan yang masing-masing merekodkan bacaan 48, manakala Putrajaya dan Shah Alam mencatat bacaan 45.

Secara keseluruhan, Langkawi terus merekodkan kualiti udara terbaik di negara ini dengan bacaan IPU 19, diikuti Alor Setar dan Kota Bharu yang masing-masing mencatat bacaan 22.

Must Watch Video

Advertisement