Skip to main content
Advertisement

Politik

PRN Melaka: DAP tanding tujuh kerusi berdasarkan peluang boleh menang - Loke

Keputusan DAP untuk bertanding di tujuh kerusi sahaja pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, termasuk tidak meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, dibuat berdasarkan pertimbangan peluang boleh menang, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. - Gambar fail/BERNAMA
Keputusan DAP untuk bertanding di tujuh kerusi sahaja pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, termasuk tidak meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, dibuat berdasarkan pertimbangan peluang boleh menang, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • DAP hanya bertanding di tujuh kerusi pada PRN Melaka ke-16, tidak meletakkan calon di DUN Bemban atas faktor peluang kemenangan.
  • Pakatan Harapan menumpukan kepada 21 kerusi dengan kerjasama DAP, PKR dan Amanah, berbanding 28 calon pada PRN Melaka 2021.
  • SPR menetapkan hari pengundian PRN Melaka pada 14 November, penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

MELAKA: Keputusan DAP untuk bertanding di tujuh kerusi sahaja pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, termasuk tidak meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, dibuat berdasarkan pertimbangan peluang boleh menang, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Beliau berkata keputusan itu mengambil kira prestasi parti pada PRN Melaka 2021 apabila DAP berada di kedudukan kedua di beberapa kerusi yang gagal dimenanginya tetapi di tempat ketiga di Bemban.

“Kami nak pastikan supaya kekuatan, sumber dan fokus kami tertumpu kepada kerusi-kerusi yang boleh menang. Sebab itulah kami bertanding di tujuh kerusi sahaja kali ini.

“Itu satu keputusan taktikal dan satu keputusan strategik yang dibuat oleh parti supaya kami dapat pastikan kekuatan dan fokus kami bertumpu di kawasan yang boleh menang, iaitu tujuh kerusi yang ditandingi itu, termasuk empat kerusi penyandang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di sini hari ini.

Sebanyak 283 pemandu teksi dan kereta sewa menerima baucar sumbangan bernilai RM1,000 setiap seorang pada majlis itu.

Pada PRN Melaka 2021, calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) di DUN Bemban Tey Kok Kiew tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dr Mohd Yadzil Yaakub dengan majoriti 328 dalam pertandingan lima penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Loke ketika mengulas mengenai strategi PH pada PRN kali ini berkata gabungan itu akan memberi tumpuan kepada 21 kerusi yang diumumkan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lepas.

“Kami bergerak atas kerjasama PH membabitkan tiga parti, iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah). Kami fokus kepada 21 kerusi yang ditandingi itu... yang lain itu kami tidak terlibat,” katanya.

PH mempertaruhkan 21 calon daripada tiga parti komponennya pada PRN Melaka ke-16 berbanding 28 calon pada 2021.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal pada 10 Nov.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement