KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Sarawak terus menunjukkan pemulihan apabila stesen Serian merekodkan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kepada 170, manakala Sri Aman mencatatkan penurunan paling ketara setakat jam 4 petang.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Sri Aman menurun kepada 148 berbanding 153 pada jam 3 petang.
Bagaimanapun, tiga lagi kawasan di Sarawak masih berada dalam kategori tidak sihat iaitu Serian (170), Kuching (158) dan Samarahan (158).
Sementara itu, sebanyak 61 stesen di seluruh negara mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana.
Bukit Rambai di Melaka kekal merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori itu iaitu 90, diikuti Larkin, Johor (85), Pasir Gudang, Johor (85), Sarikei, Sarawak (84) serta Bintulu, Sarawak (83).
Di Lembah Klang, semua stesen kekal berada pada tahap sederhana dengan Shah Alam mencatat bacaan tertinggi iaitu 81.
Ia diikuti Cheras (78), Johan Setia (78), Petaling Jaya (75), Kuala Selangor (74), Batu Muda (73), Putrajaya (70), Klang (68) dan Banting (63).
Dalam pada itu, tiga stesen di Semenanjung terus merekodkan kualiti udara pada tahap baik dengan Besut, Terengganu mencatat bacaan IPU terendah negara iaitu 33.
Langkawi, Kedah merekodkan bacaan 39 manakala Tanah Merah, Kelantan mencatat bacaan 47.
Walaupun bacaan IPU menunjukkan trend penurunan, orang ramai khususnya penduduk di kawasan yang masih mencatatkan kualiti udara tidak sihat di Sarawak dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa memantau perkembangan semasa kualiti udara bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat jerebu.