KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Sarawak terus menunjukkan pemulihan apabila kesemua empat stesen yang berada dalam kategori tidak sihat merekodkan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat jam 3 petang.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), stesen Serian mencatat bacaan 171 berbanding 173 pada jam 2 petang, sekali gus kekal merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori tidak sihat.
Tiga lagi stesen di Sarawak yang masih berada dalam kategori sama turut mencatatkan penurunan bacaan, iaitu Samarahan (159), Kuching (158) dan Sri Aman (153).
Sementara itu, sebanyak 61 stesen di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana.
Bukit Rambai di Melaka mencatat bacaan tertinggi dalam kategori itu iaitu 90, diikuti Larkin, Johor (85), Sarikei, Sarawak (85), Pasir Gudang, Johor (84) serta Bintulu, Sarawak (84).
Di Lembah Klang, semua stesen kekal berada pada tahap sederhana dengan Shah Alam merekodkan bacaan tertinggi iaitu 80.
Ia diikuti Cheras (79), Johan Setia (78), Kuala Selangor (75), Petaling Jaya (75), Batu Muda (72), Putrajaya (70), Klang (69) dan Banting (63).
Dalam pada itu, tiga stesen di Semenanjung terus merekodkan kualiti udara pada tahap baik dengan Besut, Terengganu mencatat bacaan IPU terendah negara iaitu 33.
Langkawi, Kedah merekodkan bacaan 40 manakala Tanah Merah, Kelantan mencatat bacaan 46.
Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan antara 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.
Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan yang masih mencatatkan IPU tidak sihat, dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar, menutup rapat pintu dan tingkap bagi mengelakkan jerebu memasuki kediaman serta memakai pelitup muka yang sesuai sekiranya perlu berada di luar bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat jerebu.