Skip to main content

Malaysia

Jerebu: IPU enam stesen di Sabah menurun, empat masih tidak sihat

SANDAKAN, 3 Sept " Aktiviti nelayan berjalan seperti biasa walaupun cuaca berjerebu sewaktu tinjauan hari ini. Portal rasmi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah ini mencatatkan bacaan sederhana dengan bacaan 92 setakat jam 1 petang. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di enam stesen pemantauan di Sabah menunjukkan penurunan setakat 6 petang tadi berbanding tempoh sama semalam, namun empat daripadanya masih berada pada tahap tidak sihat. - Foto BERNAMA
Advertisement

KOTA KINABALU: Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di enam stesen pemantauan di Sabah menunjukkan penurunan setakat 6 petang tadi berbanding tempoh sama semalam, namun empat daripadanya masih berada pada tahap tidak sihat.

Penurunan paling ketara direkodkan di Sandakan apabila IPU susut kepada 93 daripada 151 semalam, sekali gus kembali ke tahap sederhana.

Politeknik Kota Kinabalu dan Keningau masing-masing mencatatkan penurunan, dengan bacaan IPU di Politeknik Kota Kinabalu turun kepada 156 daripada 176 manakala Keningau kepada 153 daripada 174.

Kota Kinabalu pula merekodkan IPU 156 berbanding 171 semalam manakala Kimanis turun kepada 154 daripada 170.

Tawau turut menunjukkan penurunan daripada IPU 103 semalam kepada 98 petang ini, sekali gus berada pada tahap sederhana.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiada kejadian kebakaran besar lain dikesan atau dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah serta hasil rondaan pencegahan pembakaran terbuka oleh JAS.

Menurut kenyataan itu, laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) berdasarkan imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) 20 turut menunjukkan tiada titik panas dikesan di Sabah semalam.

Bagaimanapun, sebanyak 780 titik panas aktif dikesan di Kalimantan dan 142 lagi di Sumatera berdasarkan cerapan 2 Sept.

JAS memaklumkan pihaknya sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta rondaan harian di kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering.

“Setakat ini, sebanyak 502 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta sentiasa memantau bacaan IPU terkini menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement