KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu rentas sempadan yang melanda negara bertambah buruk apabila jumlah kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat meningkat kepada 25 stesen pemantauan setakat 11 pagi ini.
Berdasarkan kemas kini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Sarawak dan kawasan tengah Semenanjung terus merekodkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Walaupun stesen pemantauan Serian di Sarawak mencatatkan penurunan dua mata kepada 180 berbanding 10 pagi tadi, kawasan itu kekal merekodkan bacaan tertinggi setakat ini.
Miri pula mencatatkan peningkatan ketara apabila bacaan IPU melonjak daripada 99 kepada 151 dalam tempoh sejam, sekali gus memasuki kategori tidak sihat.
Samarahan turut merekodkan bacaan 169, diikuti Kuching (165), Sri Aman (161), Bintulu (154) dan Sibu (152).
Di Lembah Klang, Cheras meningkat kepada 151 berbanding 138 pada sejam sebelumnya, manakala Batu Muda kembali mencatatkan bacaan tidak sihat pada paras 106 selepas merekodkan bacaan sederhana pada jam sebelumnya.
Putrajaya mencatatkan bacaan 156, diikuti Shah Alam (153), Johan Setia (119) dan Petaling Jaya (116).
Di selatan Semenanjung, Nilai merekodkan bacaan 155 manakala Seremban meningkat kepada 147. Di Johor, Larkin mencatatkan bacaan 160, diikuti Segamat (155), Batu Pahat (155), Tangkak (154) dan Pasir Gudang (152).
Di Melaka, Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka masing-masing merekodkan bacaan 131 dan 128, kedua-duanya dalam kategori tidak sihat.
Sementara itu, kualiti udara di utara Semenanjung kekal baik dengan Kangar mencatatkan bacaan IPU 26, diikuti Langkawi pada paras 27.
Orang ramai di kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti luar, memperbanyakkan pengambilan air dan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko kesan terhadap kesihatan.