KUALA LUMPUR: Situasi jerebu di beberapa kawasan terus menunjukkan perkembangan membimbangkan apabila kualiti udara di Sarawak dan Johor merosot dalam tempoh sejam terakhir.
Berdasarkan perbandingan data terkini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) pada jam 12 tengah hari, jumlah kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi paras 100 kekal tinggi, dengan Sarawak merekodkan peningkatan bacaan yang ketara.
Serian kekal sebagai lokasi paling terjejas di negara ini apabila bacaan IPU meningkat daripada 171 kepada 174.
Kuching turut mencatatkan peningkatan kepada 171 berbanding 170 sebelum ini.
Peningkatan paling ketara direkodkan di Pasir Gudang, Johor apabila bacaan IPU melonjak 22 mata daripada 130 kepada 152 dalam tempoh sejam.
Larkin turut mencatatkan bacaan tidak sihat pada paras 155 manakala Kota Tinggi berada pada paras 91.
Sementara itu, beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan dan Selangor menunjukkan sedikit peningkatan kualiti udara.
Putrajaya mencatatkan penurunan bacaan daripada 151 kepada 134, manakala Batu Muda di Kuala Lumpur turun kepada 148 berbanding 152 sebelum ini.
Johan Setia di Selangor kembali ke kategori sederhana selepas bacaannya menurun daripada 118 kepada 99.
Kapit di Sarawak turut menunjukkan peningkatan apabila bacaan IPU turun daripada 107 kepada 100, iaitu had tertinggi kategori sederhana.
Di utara Semenanjung, kualiti udara kekal terbaik dengan Langkawi merekodkan bacaan terendah negara pada paras 13, diikuti Kangar, Perlis pada paras 18.
Orang ramai khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar, mengurangkan aktiviti fizikal yang berat serta memantau bacaan IPU semasa menerusi aplikasi APIMS.