KUALA LUMPUR: Kualiti udara di Lembah Klang terus menunjukkan peningkatan setakat jam 2 petang hari ini, manakala beberapa kawasan di Sarawak dan Johor kekal merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
Berdasarkan kemas kini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), jumlah stesen yang mencatatkan bacaan tidak sihat melebihi 100 menurun kepada 16 berbanding 17 stesen pada jam sebelumnya.
Serian kekal sebagai lokasi paling terjejas di negara ini apabila bacaan IPU kekal pada paras 176. Kuching pula mencatatkan penurunan satu mata kepada 171.
Sri Aman merekodkan peningkatan kepada 167, manakala Samarahan (165), Sibu (158) dan Sarikei (151) kekal dalam kategori tidak sihat.
Di Johor, Larkin terus mencatatkan peningkatan kepada 158, sementara Pasir Gudang naik kepada 154. Tangkak pula menunjukkan penurunan kepada 114 berbanding 117 pada jam sebelumnya.
Penurunan bacaan paling ketara direkodkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Batu Muda mencatatkan bacaan 111 berbanding 124 sebelum ini, manakala Putrajaya turun kepada 106. Cheras pula merekodkan bacaan 138.
Di Selangor, Shah Alam mencatatkan bacaan 153, manakala Petaling Jaya kekal dalam kategori sederhana dengan bacaan 99.
Bintulu turut menunjukkan peningkatan kualiti udara apabila bacaan IPU menurun kepada 99 sekali gus kembali ke kategori sederhana.
Di utara Semenanjung, Langkawi terus merekodkan bacaan terendah negara pada paras 14, diikuti Kangar pada paras 18.
Orang ramai di kawasan yang masih mencatatkan bacaan tidak sihat dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, terutama aktiviti fizikal yang berat, serta menggunakan pelitup muka yang sesuai bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu.