KUALA LUMPUR: Masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan masing-masing, serta mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan.
Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Anas Ahmad Jamhari menggalakkan orang ramai, untuk menyemak bacaan IPU harian dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di melakukan aktiviti luar, bagi mengurangkan dos pencemaran yang disedut, terutamanya apabila melepasi bacaan 100.
Beliau berkata sekiranya terpaksa keluar rumah kerana keperluan mendesak, masyarakat perlu mengambil inisiatif untuk mamakai pelitup muka N95 dan memastikan kaedah pemakaian yang betul supaya dapat menapis zarah terampai PM2.5.
“Jika seseorang perlu bekerja di luar dalam tempoh yang panjang, pelitup muka N95 paling sesuai dan dipakai dengan kaedah yang betul dan kedap. Bagaimanapun, keberkesanannya berkurang jika longgar, kerap ditanggalkan, basah, rosak atau dipakai bersama-sama janggut yang mengganggu kedapan.
“Pemakaian pelitup muka bagi kanak-kanak kebiasaannya akan menjadi kurang efektif, apabila saiz yang dikenakan tidak sesuai dan mengurangkan kedapan semasa pemakaian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dr Anas turut menasihatkan orang ramai untuk mengelak melakukan aktiviti fizikal lasak seperti berlari, berbasikal dan bersukan di luar kerana semasa bersenam, kadar pernafasan meningkat dan menyedut lebih banyak udara, menyebabkan lebih banyak zarah halus memasuki saluran pernafasan.
“Apa yang saya lihat, masyarakat masih melakukan aktiviti luar walaupun IPU telah dikategorikan sebagai tidak sihat. Ini akan menambahkan faktor risiko kepada individu untuk mendapat kesan kesihatan akut mahupun kronik,” katanya.
Di rumah pula, Dr Anas berkata pintu dan tingkap perlu ditutup, selain mengurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok, vape, pembakaran colok atau lilin dan aktiviti memasak yang menghasilkan banyak asap.
“Selain itu, pastikan anda menggunakan mod kitaran semula udara dalaman jika menggunakan penghawa dingin dalam kenderaan, bukannya mod udara dari luar kenderaan,” katanya dan menambah aktiviti pembakaran terbuka perlu dihentikan serta-merta.
Beliau berkata dari perspektif toksikologi, persekitaran jerebu bukan sekadar asap yang menjejaskan penglihatan, sebaliknya mengandungi campuran zarah dan bahan kimia dengan zarah halus PM2.5 antara komponen yang paling membimbangkan, kerana saiznya membolehkan ia sampai ke bahagian dalam paru-paru.
Dr Anas berkata apabila zarah berkenaan mendap dalam sistem pernafasan, ia boleh mencetuskan tekanan oksidatif yang seterusnya menyebabkan keradangan, kecederaan sel dan gangguan fungsi saluran pernafasan.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata selain bacaan IPU, masyarakat perlu turut mempertimbangkan keadaan suhu dan kelembapan semasa jerebu.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk memastikan pengambilan air yang mencukupi, memandangkan gabungan jerebu dan suhu tinggi boleh meningkatkan risiko strok haba dan dehidrasi.
“Pada masa fenomena El Nino dengan cuaca panas, kita menghadapi risiko berganda iaitu kesan jerebu dan risiko strok haba. Justeru, pendekatan menyeluruh perlu merangkumi kedua-dua ancaman ini, bukan hanya memberi tumpuan kepada bacaan IPU semata-mata,” katanya.
Beliau berkata sikap menganggap jerebu sebagai fenomena bermusim, menyebabkan masyarakat cenderung melakukan rutin biasa, sekali gus boleh menjejaskan tahap kesiapsiagaan menghadapi episod seterusnya.
Dr Zainal berkata kesedaran perlu dibentuk secara berterusan melalui penyampaian maklumat yang ringkas dan mudah difahami supaya masyarakat tidak hanya bertindak apabila bacaan IPU sudah meningkat ke tahap lebih tinggi.
Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kes asma di fasiliti sentinel meningkat lebih lapan kali ganda kepada 1,811 kes bagi Minggu Epidemiologi ke-34, berbanding 219 kes pada minggu sebelumnya, manakala kes konjunktivitis meningkat daripada 146 kepada 720 kes dalam tempoh sama.
-- BERNAMA