KUALA LUMPUR: Program fizikal yang membabitkan himpunan orang ramai wajar ditangguhkan buat sementara waktu susulan keadaan jerebu yang dijangka berlarutan sehingga dua hingga tiga minggu lagi.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, International Medical University (IMU), Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid, berkata langkah itu penting bagi mengurangkan risiko kesihatan kepada masyarakat susulan pendedahan berterusan kepada jerebu.
Beliau berkata, semua pihak perlu mengambil inisiatif dan tindakan secara menyeluruh bagi mengelakkan keadaan itu memberi kesan lebih besar terhadap kesihatan awam.
"Kalau boleh, elakkan dianjurkan program yang melibatkan masyarakat berkumpul dan jika boleh ditangguhkan ke waktu lain, sila lakukan kerana impaknya begitu besar.
"Kalau ada aktiviti fizikal yang dirancangkan, tangguhkanlah dulu supaya tidak memberikan kesan negatif kepada tahap kesihatan masyarakat kita," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Syed Mohamed berkata, kemudahan kesihatan awam dan swasta perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah pesakit.
Katanya, kesan kesihatan akibat jerebu berkemungkinan mendorong lebih ramai masyarakat mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan klinik swasta.