Sistem bacaan bagi menilai data kualiti udara bagi setiap negara adalah sama dan piawaian penilaian kualiti udara sedia menggunakan kaedah PM10 telah diguna pakai di banyak negara.

Pengarah Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Ir. Dr Mohd Fadhil Md Din berkata terdapat lima kategori dalam membuat penilaian kualiti udara.

Isu perbezaan bacaan IPU berbeza antara negara jiran ekoran krisis jerebu adalah kerana Malaysia menyukat ukuran zarah pada 10 mikron atau PM10 manakala beberapa negara lain termasuk Singapura dan Indonesia mengira ukuran zarah sebanyak 2.5 mikron atau PM2.5 yang lebih halus dan tepat.

"Apakah perbezaan PM2.5 dan PM10 apabila kita membuat cerapan pada masa yang tertentu kerana ia mengikut kiraan jam dan bacaan mengikut penapis yang kita gunakan?

"Pada asasnya walaupun partikel PM10 itu mengambil kira 2.5 tetapi oleh kerana garis panduan yang telah ditetapkan di dalam piawaian antarabangsa, bahawa ia tidak boleh melepasi apa-apa value yang telah ditetapkan antara sepuluh hingga 25 mikron," kata Mohd Fadhil apabila menjawab kekeliruan dalam penanda aras kualiti udara dalam Analisis Awani pada Isnin.

Sehubungan itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini mengambil langkah inisiatif mendirikan stesen sementara sejak 29 September lalu bagi melindungi warganya kerana mendapat bacaan dan maklumat berbeza.

Dua alat pemantauan udara itu turut merujuk silang bacaan dari stesen Larkin lama yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan hasil kajian kualiti udara di stesen sementara UTM mendapati sistem ukuran zarah dalam udara pada 2.5 mikron atau PM2.5 menunjukkan data kualiti udara yang lebih jelas dan tepat.

Jelasnya, wujud perbezaan ketara dalam bacaan indeks pencemaran udara (IPU) antara negara berikutan kaedah pengukuran kualiti udara yang berbeza.

Komposisi atau ketepatan udara dipengaruhi oleh atmosfera dan catatan bacaan akan berbeza disetiap kawasan disebabkan haba panas dan sejuk di lokasi yang berlainan.

Katanya, masyarakat memerlukan bacaan IPU yang sebenar kerana ia sebagai penanda aras kesihatan bagi mengambil kira langkah-langkah tindakan harian.

Tambah beliau, cerapan yang jelas adalah penting dalam usaha menangani jerebu kerana ia turut mejejaskan beberapa sektor lain seperti pertanian, pelancongan dan kesihatan.

Beliau turut menggesa kerajaan menyediakan pelan tambahan dan memberi maklumat tepat kepada rakyat serta mengembleng tenaga pakar dan menggunakan kepakaran mereka bagi mengatasi situasi semasa dan selepas jerebu agar memberi manfaat kepada semua.