KUCHING: Selepas keadaan menunjukkan semakin pulih sejak 24 jam lalu, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di IPD Serian tiba-tiba mencanak, bermula jam 6 petang semalam dan sehingga jam 7 pagi tadi menghampiri situasi “darurat”.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), bacaan indeks kawasan tersebut kini 495, satu-satunya kawasan yang berada dalam situasi berbahaya.
Tiga kawasan lain di Sarawak merekodkan bacaan amat tidak sihat iaitu Kuching sebanyak 289, Samarahan (265) dan Sri Aman (250).
Lapan lokaliti lain termasuk dua di Sabah merekodkan bacaan indeks di bawah 200 atau tidak sihat.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jika bacaan IPU mencecah 500, lokaliti yang terlibat akan diisytiharkan darurat, yang menyebabkan semua sektor awam dan swasta ditutup, kecuali perkhidmatan penting.
JPBN Sarawak katanya, akan memaklumkan perkara itu kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.