Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Jerebu: Sri Aman catat penurunan IPU ketara, empat kawasan Sarawak masih tidak sihat

KUCHING, 23 Ogos -- Tinjauan di sekitar Kuching tengah hari ini mendapati bandar raya tersebut diselubungi jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 180._BERNAMA
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Sri Aman menurun sebanyak 32 mata berbanding 148 yang direkodkan pada jam 4 petang. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Sarawak terus menunjukkan pemulihan apabila Sri Aman mencatatkan penurunan ketara bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kepada 116 setakat jam 5 petang.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Sri Aman menurun sebanyak 32 mata berbanding 148 yang direkodkan pada jam 4 petang.

Bagaimanapun, Sri Aman bersama tiga lagi kawasan di Sarawak masih berada dalam kategori tidak sihat iaitu Serian (170), Samarahan (158) dan Kuching (156).

Sementara itu, sebanyak 61 stesen di seluruh negara mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana.

Bukit Rambai di Melaka merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori itu iaitu 91, diikuti Larkin, Johor (86), Pasir Gudang, Johor (84) dan Nilai, Negeri Sembilan (83).

Di Lembah Klang, semua stesen kekal berada pada tahap sederhana dengan Shah Alam merekodkan bacaan tertinggi iaitu 82.

Ia diikuti Cheras (78), Johan Setia (78), Petaling Jaya (75), Batu Muda (74), Kuala Selangor (73), Putrajaya (70), Klang (68) dan Banting (63).

Dalam pada itu, tiga stesen di Semenanjung terus merekodkan kualiti udara pada tahap baik dengan Besut, Terengganu mencatat bacaan IPU terendah negara iaitu 33.

Langkawi, Kedah mencatat bacaan 40 manakala Tanah Merah, Kelantan merekodkan bacaan 47.

Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan antara 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.

Penduduk di kawasan yang masih mencatatkan IPU tidak sihat di Sarawak dinasihatkan supaya terus mengurangkan aktiviti luar dan menggunakan pelitup muka yang sesuai bagi mengurangkan kesan pendedahan kepada jerebu.

Must Watch Video

Advertisement