KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Sarawak terus menunjukkan pemulihan apabila Sri Aman keluar daripada kategori tidak sihat selepas merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 98 setakat jam 6 petang.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Sri Aman menurun sebanyak 18 mata berbanding 116 pada jam 5 petang.
Perkembangan itu menjadikan hanya tiga stesen di seluruh negara yang masih berada dalam kategori tidak sihat, kesemuanya di Sarawak iaitu Serian (169), Samarahan (156) dan Kuching (154).
Ketiga-tiga stesen berkenaan turut merekodkan penurunan bacaan berbanding sejam sebelumnya.
Sementara itu, sebanyak 62 stesen di seluruh negara mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana.
Bukit Rambai di Melaka merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori itu iaitu 91, diikuti Larkin dan Pasir Gudang di Johor yang masing-masing mencatatkan bacaan 85, serta Nilai, Negeri Sembilan (83).
Di Lembah Klang, semua stesen kekal berada pada tahap sederhana dengan Shah Alam mencatat bacaan tertinggi iaitu 80.
Ia diikuti Johan Setia (78), Cheras (76), Petaling Jaya (74), Batu Muda (74), Kuala Selangor (73), Putrajaya (69), Klang (68) dan Banting (62).
Dalam pada itu, tiga stesen di Semenanjung terus merekodkan kualiti udara pada tahap baik dengan Besut, Terengganu mencatat bacaan IPU terendah negara iaitu 32.
Langkawi, Kedah merekodkan bacaan 40 manakala Tanah Merah, Kelantan mencatat bacaan 49.
Meskipun bilangan kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat semakin berkurangan, penduduk di Serian, Samarahan dan Kuching dinasihatkan supaya terus mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka yang sesuai bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat jerebu.