KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Sarawak terus menunjukkan pemulihan apabila Sri Aman mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 94 setakat jam 7 malam, sekali gus kekal dalam kategori sederhana.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Sri Aman menurun empat mata berbanding 98 yang direkodkan pada jam 6 petang.
Perkembangan itu menjadikan hanya tiga stesen di seluruh negara yang masih berada dalam kategori tidak sihat, kesemuanya di Sarawak.
Tiga stesen berkenaan ialah Serian (168), Samarahan (155) dan Kuching (153), dengan masing-masing mencatatkan penurunan satu mata berbanding sejam sebelumnya.
Sementara itu, sebanyak 63 stesen di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana.
Bukit Rambai di Melaka kekal mencatat bacaan tertinggi dalam kategori itu iaitu 91, diikuti Larkin, Johor (85), Pasir Gudang, Johor (84) serta Politeknik Kota Kinabalu, Sabah (82).
Di Lembah Klang, semua stesen terus berada pada tahap sederhana dengan Shah Alam dan Johan Setia masing-masing mencatat bacaan tertinggi iaitu 79.
Ia diikuti Cheras (76), Petaling Jaya (74), Batu Muda (74), Kuala Selangor (72), Putrajaya (68), Klang (68) dan Banting (62).
Dalam pada itu, Tanah Merah, Kelantan mencatat bacaan 51 dan keluar daripada kategori baik, menjadikan hanya dua stesen yang masih merekodkan kualiti udara pada tahap baik.
Langkawi, Kedah mencatat bacaan IPU 39 manakala Besut, Terengganu terus merekodkan bacaan IPU terendah negara iaitu 33.
Orang ramai di kawasan yang masih mencatatkan IPU tidak sihat, khususnya di Serian, Samarahan dan Kuching, dinasihatkan supaya terus mengurangkan aktiviti luar serta memantau perkembangan semasa kualiti udara.