Tiga kawasan di Sarawak, Pulau Pinang dan Johor mencatatkan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada tahap tidak sihat kepada tahap sederhana, lewat malam tadi.

Sehingga pukul 11 malam tadi, berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kawasan yang mencatatkan penurunan bacaan IPU itu ialah Sri Aman di Sarawak dengan bacaan IPU 91, Balik Pulau di Pulau Pinang (99) dan Batu Pahat di Johor (96).

Selain itu, jumlah kawasan yang merekod bacaan IPU tidak sihat juga menurun kepada 30 berbanding 33 setakat pukul 7.00 malam tadi.

Kawasan Nilai di Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat paling tinggi iaitu 159, diikuti Johan Setia di Selangor dengan bacaan 158.

Beberapa kawasan yang masih mengekalkan bacaan IPU tidak sihat adalah Tasek Ipoh (128), Pegoh Ipoh (109) Seri Manjung (149) di Perak; Batu Muda (124), Cheras (120) di ibu negara; Putrajaya (144); Kuala Selangor (128), Petaling Jaya (124), Shah Alam (124), Klang (124) dan Banting (140) di Selangor.

Di Negeri Sembilan, dua kawasan mencatat IPU tidak sihat iaitu di Seremban (133) dan Port Dickson (144); manakala di Melaka, Alor Gajah (119), Bukit Rambai (125) dan Bandaraya Melaka (123); dan di Johor, Segamat (146) serta Tangkak (113).

Di Pahang, turut mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Rompin (119), Temerloh (155), Jerantut (110), Indera Mahkota (133) dan Balok Baru (133); manakala di Terengganu ialah Kemaman (144), Paka (121) dan Kuala Terengganu (121); selain Tanah Merah (113) dan Kota Bharu (114) di Kelantan.

Sebanyak 37 kawasan pula merekod kategori sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-- BERNAMA