Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Bersatu banyak bergantung kepada Pas - Sanusi

SANUSI PN BN JEMPOL PRN, PAS, BN_Astro AWANI
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa parti Bersatu banyak bergantung kepada Pas dari segi kekuatan jentera dan sokongan politik. - Astro AWANI
Advertisement

JEMPOL: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) banyak bergantung kepada Pas dari segi kekuatan jentera dan sokongan politik.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas berkata kejayaan yang diraih Bersatu sebelum ini turut dipengaruhi sokongan parti tersebut.

“Semua bergantung kepada Pas. Bila tak ada Pas, dia pergi mana? Janganlah kata Pas tumpang dia. Dia yang tumpang Pas.

“Bila dia duduk bersama kita, dia pun dapat ‘rahmat’ 30 kerusi,” katanya berseloroh ketika ditemui media pada Ceramah Umum Perdana PN & BN Parlimen Jempol, di sini, hari ini.

Tambah Sanusi, Bersatu perlu kembali ke "pangkal jalan" dan mendakwa perpecahan yang berlaku dalam parti itu disebabkan "dasar peribadi".

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kejayaan Pas yang memenangi 43 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15  (PRU15) adalah hasil kerjasama politik antara Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Kata Muhyiddin, perkara itu dibuktikan apabila beberapa kawasan yang dimenangi Pas yang bertanding di bawah PN menyaksikan peningkatan majoriti yang ketara berbanding pilihan raya sebelum ini.

Beliau juga mendakwa perkara itu sekali gus mencatatkan kemenangan terbesar dalam sejarah Pas.

Must Watch Video

Advertisement