PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menyerahkan surat arahan pelaksanaan kepada Pejabat Daerah Semporna, Sabah dan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi membina semula jambatan dan jeti di Pulau Pababag, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap agar pembinaan semula jambatan dan jeti berkenaan yang dilaporkan roboh pada Rabu lepas (30 Jan) disegerakan, bagi memudahkan pergerakan penduduk terjejas khususnya murid sekolah dan taman didikan kanak-kanak (Tadika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

"Pergerakan harian sekurang-kurangnya 151 murid sekolah dan 35 murid Tadika Kemas terjejas akibat jambatan dan jeti yang runtuh ini. Saya harap pembinaan jambatan dan jeti ini dilaksanakan segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 30 Jan lepas, tular video berdurasi satu minit 30 saat menunjukkan dua guru berusaha menyelamatkan 25 murid dalam kejadian jeti roboh yang merupakan jeti utama di Kampung Pababag untuk ke Sekolah Kebangsaan Pulau Pababag.

Dua murid dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bibir dan tangan, akibat terkena serpihan kayu serta simen jeti berkenaan.

Ahmad Zahid berkata ketika kejadian, beliau berada di Sabah bagi meninjau keadaan banjir di negeri itu dan telah dimaklumkan berhubung insiden itu oleh Ketua UMNO Bahagian Semporna Abdul Manan Indanan.

"Saya telah mengarahkan pihak KKDW untuk segera berhubung dengan Pejabat Daerah Semporna bagi menyiasat dan mengambil tindakan segera kerana laluan tersebut adalah laluan biasa bagi urusan pergerakan harian penduduk termasuk menghantar anak ke sekolah serta Tadika Kemas di Pulau Pababag," katanya.

-- BERNAMA