Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin percaya bahawa Low Taek Jho atau Jho Low tidak bertindak seorang diri dalam penyelewengan bernilai berbilion ringgit daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut laporan portal berita Channel News Asia (CNA) hari ini, Daim berkata Jho Low telah melantik beberapa penasihat dalam kalangan pegawai bank dan membayar mereka dengan jumlah yang tinggi untuk menipu bukan sahaja sistem kewangan Malaysia malah dunia.

“Dia ada penasihat yang bagus. Dia bayar mereka dengan bayaran yang tinggi untuk melaksanakan rancangan dan membantu menyembunyikan jejak langkahnya,” kata Daim.

Apabila ditanya adakah Malaysia akan menjejak pegawai bank berkenaan, Daim dipetik berkata kerajaan Malaysia kini hanya fokus mahu mendapatkan kembali wang rakyat.

Menurut Daim, walaupun Polis Antarabangsa (NTERPOL) telah mengeluarkan waran dan Notis Merah terhadap Jho Low, ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu masih bebas. Jho KLow turut dilaporkan mempunyai ramai ‘pengikut’ di merata-rata tempat.

Laporan CNA turut memetik sebagai berkata, pada malam sebelum sambutan Hari Raya Julai lalu, Daim dilaporkan telah menerima maklumat bahawa Jho Low berada di sebuah hotel di luar negara dengan keluarganya. Namun, dia (Jho Low) didakwa 'hilang' dari hotel itu dalam masa satu jam.

"Dengan menggunakan wang hasil kutipan cukai, dia mampu mengupah peguam terbaik," tambah Daim.

Selain itu, Daim turut diberitahu bahawa lebih RM166 juta (AS$40 juta) telah dibelanjakan hanya untuk membayar yuran guaman beliau saja.