Bekas pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa Low Taek Jho atau Jho Low memanggil Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai "big boss".

Joanna Yu Ging Ping, 48, yang pernah menjadi pengurus perhubungan AmBank, berkata demikian ketika peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib membacakan perbualan di BlackBerry Messenger (BBM) bertarikh 30 Mei 2014 antara beliau dan Jho Low.

Harvinderjit: Pada 30 Mei 2014, pada 10.54 Jho Low menghantar mesej ini kepada anda "15 pai Amerika hendak masuk" yang Yu menjawab "Ya sebenarnya Jho Low berkata big boss baru hubungi."

Harvinderjit : Siapakah big boss?

Yu : Dia adalah pemegang akaun

Harvinderjit : Pemegang akaun dirujuk sebagai MNR (Mohd Najib Razak) bukan.

Yu: Tetapi saya tidak pasti siapakah boss yang lebih besar

Harvinderjit : Baiklah, terima kasih.

Saksi ke-54 pendakwaan juga bersetuju dengan andaian peguam itu bahawa berdasarkan perbualan di BBM bertarikh 30 Mei, 2014, Jho Low juga merujuk pound Great Britain sebagai "chip".

"Chip yang dimaksudkan merujuk kepada pound GB," Harvinderjit menyoal dan Yu menjawab " Dia (Jho Low) selalu menggunakan istilah pai untuk merujuk kepada matawang Dolar AS dan sate untuk Ringgit Malaysia.

"Ya, dan akhirnya chip untuk pound GB, semuanya masuk akal,' kata peguam itu dan Yu menjawab "ok"

Saksi tersebut tidak bersetuju dengan andaian peguam bahawa Nik Faisal Ariff Kamil, yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif SRC, bahawa dia bukan orang penting dalam operasi akaun Najib.

Harvinderjit berkata mengikut perbualan di BBM antara Yu dan Nik Faisal pada 13 Jan, 2015, Nik Faisal berkata " Saya bukan orang penting."

"Itulah apa yang dia katakan tetapi saya tidak bersetuju dengannya," kata Yu.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salahguna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pada Rabu.

-- BERNAMA