Ringkasan AI
- Paolo Bulgari, tokoh barang kemas Itali dan peneraju jenama mewah Bulgari, meninggal dunia pada usia 89 tahun.
- Beliau memainkan peranan penting mengembangkan perniagaan keluarga ke peringkat antarabangsa dan mempelbagaikan produk termasuk jam tangan, minyak wangi serta perhotelan.
- Pada 2011, keluarga Bulgari menjual kepentingan kawalan syarikat kepada LVMH dan pada 2019, beliau menubuhkan yayasan membantu golongan muda kurang bernasib baik.
ATHENS: Paolo Bulgari, tokoh barang kemas Itali yang memainkan peranan penting dalam mengembangkan perniagaan keluarganya menjadi jenama mewah bertaraf antarabangsa, meninggal dunia pada usia 89 tahun.
Menurut laporan Associated Press (AP), keluarganya mengumumkan pemergian beliau pada Sabtu, sambil menyifatkannya sebagai "tokoh barang kemas terhebat zaman ini" serta mengenang sifat kemanusiaan dan kebijaksanaannya dalam bidang keusahawanan.
Dilahirkan di Rom pada 1937, Bulgari merupakan cucu kepada Sotirios Voulgaris, seorang tukang perak berasal dari Greece yang mengasaskan perniagaan barang kemas keluarga itu selepas berhijrah ke Itali.
Beliau menyertai perniagaan keluarga sejurus tamat persekolahan dan bersama adiknya, Nicola serta anak saudaranya, Francesco Trapani, mengembangkan jenama Bulgari ke pasaran antarabangsa termasuk New York, Paris, Geneva dan Monte Carlo.
Jenama itu terkenal dengan reka bentuk berani, penggunaan batu permata berwarna-warni serta emas kuning, selain menjadi pilihan selebriti Hollywood seperti Elizabeth Taylor dan Zendaya.
Di bawah kepimpinannya sejak pertengahan 1980-an, Bulgari turut mengembangkan perniagaan kepada jam tangan, minyak wangi, barangan kulit dan sektor perhotelan.
Pada 2011, keluarga Bulgari menjual kepentingan kawalan dalam syarikat itu kepada konglomerat barangan mewah Perancis, LVMH menerusi urus niaga bernilai lebih US$5 bilion, sekali gus menamatkan penguasaan langsung keluarga berkenaan.
Selain kejayaannya dalam perniagaan, Bulgari bersama isterinya menubuhkan Yayasan Paolo Bulgari pada 2019 bagi membantu golongan muda kurang bernasib baik melalui pendidikan dan latihan pekerjaan.
Upacara pengebumian beliau dijadual berlangsung pada Isnin di Basilika Santa Croce, Rom.
-- BERNAMA-AP