KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti untuk memperketat kawalan di pangkalan pasukan keselamatan termasuk tentera dan polis susulan penemuan dadah seberat 96.6 kilogram di pangkalan tentera udara, baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri dan dijangka dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini untuk dibincangkan.
"Tindakan ini perlu memandangkan kawalan keselamatan ketika ini lebih tertumpu kepada pintu masuk rasmi negara.
"Namun, ekoran insiden ini, Perdana Menteri ada membangkitkan agar KDN meneliti semula perkara ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersempena dengan sambutan Deepavali di Kampung Paya Besar, Lunas, di sini malam tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata kemungkinan akan ada tangkapan susulan berhubung kejadian terbabit.
"Saya tidak boleh sahkan sama ada berkaitan dengan sindiket atau tidak, biar polis siasat, tetapi dari segi jumlah tangkapan yang membabitkan tentera dan orang awam, ada kemungkinan," katanya.
Saifuddin Nasution berkata KDN dan Kementerian Pengangkutan telah meningkatkan dan memperketat langkah keselamatan di pintu keluar masuk negara, khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Antara inisiatif yang kita lakukan ialah pemeriksaan 100 peratus terhadap destinasi yang kita anggap popular sebagai lokasi penyeludup, begitu juga pemeriksaan 100 peratus terhadap bagasi dan penumpang.
"Tentunya langkah ini akan memberikan kesan kepada sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan, mereka terpaksa memilih mod pengedaran yang lain," katanya.
Pada 19 Nov lepas, polis membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menyeludup dadah ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, susulan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM.
-- BERNAMA