MALAYSIA
JIIICaS 2025 cipta sejarah: 339 inovator dari empat negara sertai edisi ketiga

Program ini turut mendapat liputan khas menerusi rancangan temu bual AWANI Pagi terbitan Astro pada 3 Jun 2025 lalu.
PASIR GUDANG: Penganjuran Johor International Innovation, Invention Competition and Symposium 2025 (JIIICaS 2025) anjuran Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang, mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menarik penyertaan seramai 339 inovator dari empat negara iaitu Brunei, Thailand, Indonesia dan Malaysia.
Program ini berlangsung secara dalam talian dari 7 April hingga 2 September 2025 dengan mengetengahkan tema “Bridging Ideas and Reality through Emerging Technologies in Innovation”.
Program ini turut mendapat liputan khas menerusi rancangan temu bual AWANI Pagi terbitan Astro pada 3 Jun 2025 dalam slot siaran langsung pada pukul 7.30 pagi bertajuk “Inovasi Tanpa Sempadan: Apa yang Menarik dalam JIIICaS 2025?”.
Temu bual tersebut menampilkan dua wakil utama penganjur, iaitu Dr. Ghazali Semil @ Ismail (Pengarah) dan Dr. Nur Idayu Alimon (Timbalan Pengarah), yang mengupas pelbagai inisiatif terkini serta fokus utama edisi tahun ini. Kedua-duanya menegaskan visi JIIICaS 2025 sebagai platform maya global yang membolehkan pelajar dari semua peringkat mempamerkan hasil penemuan, inovasi dan kreativiti masing-masing.
Acara berprestij yang kini memasuki edisi ketiga ini menghimpunkan hasil ciptaan, inovasi dan idea kreatif daripada pelbagai peringkat, termasuklah pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, pendidikan khas, vokasional, pelajar institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa, penyelidik, ahli akademik serta pemain industri serantau.
JIIICaS 2025 turut meraikan penyertaan pelajar kurang upaya melalui kategori khas yang dinilai secara adil dengan rubrik pemarkahan berbeza daripada aliran biasa. Selain pertandingan inovasi, JIIICaS 2025 turut menganjurkan "Symposium on Innovation in the Digital Era (SIDE)” yang menampilkan penceramah jemputan dari UiTM serta wakil industri. Simposium ini memberikan peluang kepada peserta dan orang awam untuk menimba ilmu, memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta membuka ruang perkongsian kepakaran.
Majlis penutup dan pengumuman pemenang telah disempurnakan oleh Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Johor, Prof. Madya Dr. Saunah Zainon, yang disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube rasmi UiTM Johor pada 2 September 2025.
Pada majlis itu bersiaran, peserta dari Kolej Universiti Selatan, Skudai, Johor telah dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan bagi kategori pelajar institusi pengajian tinggi iaitu dengan menerima Anugerah Mahkota (Crown Award).
Sebanyak 15 kategori Anugerah Istimewa telah dipertandingkan dengan pemenang membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai, sijil elektronik dan baucar kesihatan (pemenang Anugerah Mahkota). Selain itu, sebanyak 109 pingat emas berjaya direbut oleh para peserta, manakala selebihnya menerima pingat perak dan gangsa.
Sebagai penganjur, UiTM menegaskan peranannya sebagai hab dan penggerak utama dalam menyokong serta mengetengahkan hasil inovasi dan kepakaran tempatan ke peringkat lebih tinggi. Usaha ini sejajar dengan misi universiti untuk memperkasakan budaya penyelidikan dan penciptaan yang memberi impak besar kepada masyarakat serta negara.
Lebih menarik, penganjuran JIIICaS 2025 ini juga selari dengan aspirasi program Innovathon, iaitu inisiatif nasional yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui pendekatan berasaskan inovasi.
Program tersebut merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Ekonomi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Astro. Sinergi antara JIIICaS 2025 dan Innovathon dapat dilihat dalam usaha bersama melahirkan generasi pelajar yang kreatif, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara melalui penyelesaian inovatif.
JIIICaS 20245 bertindak sebagai platform serantau dengan capaian antarabangsa, manakala Innovathon berperanan mengarusperdanakan budaya inovasi di peringkat kebangsaan. Kedua-dua program ini melengkapi antara satu sama lain dalam membentuk ekosistem inovasi yang holistik.
Penganjuran JIIICaS 2025 turut mendapat sokongan penaja, dengan Ziyad Engineering & Construction Sdn. Bhd. sebagai Penaja Utama, manakala Poliklinik Tiram 24 Jam, HydroBuzz dan Silver Base (M) Sdn. Bhd. tampil sebagai Penaja Bersama. Rakan kolaborasi penganjuran kali ini terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor – Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni (BPJIA), Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), serta Kelab Kebajikan Pengajian Sains Pengkomputeran dan Matematik. Dua rakan kolaborasi luar negara pula terdiri daripada Universitas Batam dan Politeknik Caltex Riau, Indonesia.
Dengan kejayaan penganjuran kali ini, pihak fakulti optimis bahawa JIIICaS akan terus berkembang sebagai sebuah platform inovasi berimpak tinggi, sekali gus mengangkat negeri Johor dan Malaysia sebagai hab inovasi serantau di persada antarabangsa.
Laman web JIIICaS 2025: https://jiiicas.com/
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami