KUALA LUMPUR: Akta Persendirian tentang Pendanaan Politik jika berjaya dibentangkan, merupakan langkah pertama untuk memastikan sistem politik yang lebih telus, dan bertanggungjawab.

Pengurus Kanan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Aira Azhari berkata, ia membolehkan pengurusan pendanaan, akauntabiliti dan bagaimana dana itu diuruskan.

Namun, tambahnya lagi, sekiranya akta itu berjaya diluluskan, semua pihak berkepentingan perlu memastikan pelaksanaan langkah-langkah susulan seperti deklarasi aset serta akta yang mengawal selia parti-parti politik.

“Sebagai contoh, kita perlu langkah reformasi seperti deklarasi aset dan kita juga masih belum mempunyai akta khusus untuk parti politik, apa yang parti boleh dan tidak boleh lakukan sebagai contoh.

“Selain itu reformasi ke atas Jabatan Peguam Negara bagi memisahkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwaraya. Ini merupakan antara punca terjadinya pendakwaan terpilih, sehingga menimbulkan konflik kepentingan dalam peranan Peguam Negara,” katanya lagi.

Aira berkata demikian dalam sesi penerangan kepada media berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai Pendanaan Politik anjuran IDEAS, pada Jumaat.

Pada 13 Julai lepas, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia telah menghantar cadangan RUU berkenaan melalui Pengerusinya, Ahmad Fadhli Shaari, kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

Dalam sidang media di bangunan Parlimen pada Khamis, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, antara cadangan RUU tersebut ialah peruntukan dana awam RM130 juta setahun untuk semua parti politik yang berkelayakan.

Mengikut RUU tersebut, sebanyak RM120 juta diperuntukkan kepada parti politik mengikut jumlah perolehan undi masing-masing, manakala pengagihan baki RM10 juta berdasarkan bilangan wakil rakyat parti politik yang berkelayakan.

Selain itu, pembahagian RM120 juta tersebut juga perlu mengikut kuota – RM90 juta untuk Semenanjung, dan masing-masing RM15 juta untuk Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Aira berkata, perlu ada libat urus berterusan dengan sektor swasta, memandangkan badan korporat sering dilihat sebagai antara sumber pendanaan parti politik.

“Badan korporat merupakan penderma besar kepada parti dan juga ahli-ahli politik. Dan kita perlu melibatkan mereka juga dalam proses ini. Jika tidak reform tidak akan terjadi,” katanya lagi.