Skip to main content

Malaysia

JIM tahan 35 pendatang asing dalam Ops Mahir di Cheras

Warga Asing_Jabatan Imigresen Malaysia WP Kuala Lumpur
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menahan 35 pendatang asing menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Ops Mahir) di kawasan kilang di sekitar Cheras, hari ini. - Foto Facebook JIM WPKL
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menahan 35 pendatang asing menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Ops Mahir) di kawasan kilang di sekitar Cheras, hari ini.

Menurut kenyataan JIM WPKL, operasi yang bermula pada 10.30 pagi itu dilaksanakan bersempena dengan Operasi Penguatkuasaan Serentak Seluruh Negara yang menyasarkan premis dikenal pasti menggaji pekerja warga asing.

“Sebanyak 43 individu diperiksa di lokasi berkenaan sebelum 35 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Kesemua tahanan ialah lelaki berumur antara 25 hingga 48 tahun, merangkumi 17 warganegara India, 10 Bangladesh, lima Indonesia dan tiga Myanmar,” menurut kenyataan itu.

Operasi bersepadu berkenaan melibatkan kekuatan 50 pegawai penguat kuasa, terdiri daripada 34 pegawai imigresen, sembilan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta tujuh pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas serta tinggal lebih masa di negara ini.

Menurut kenyataan itu, kesemua kesalahan berkenaan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, JIM memaklumkan sebanyak tiga keping Borang 29 (Saman kepada Saksi) turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Kuala Lumpur untuk siasatan serta tindakan susulan.

Sehubungan dengan itu, JIM WPKL mengingatkan majikan supaya mematuhi undang-undang dan tidak menggaji warga asing tanpa pas yang sah, selain tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar.

Sementara itu, di BUKIT MERTAJAM, JIM Pulau Pinang menahan 87 warga asing dalam operasi yang sama di sebuah kilang di kawasan Perai, hari ini, atas pelbagai kesalahan imigresen.

JIM Pulau Pinang dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan sebanyak 164 warga asing diperiksa sebelum menahan 87 daripadanya, terdiri daripada 71 wanita dan 16 lelaki warga Indonesia dan Myanmar berumur 20 hingga 40-an.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mereka yang bekerja di kilang terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri, tiada pas kerja yang sah dan tinggal lebih masa. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C), Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement