Skip to main content

Malaysia

JKPK teliti cadangan pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya

Dalam satu kenyataan hari ini, JKPK memaklumkan penelitian dibuat terhadap cadangan pindaan yang dikemukakan oleh AGC, khususnya bagi memastikan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh MRR diberikan pertimbangan sewajarnya.

Ringkasan AI

  • Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) meneliti cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dibentangkan oleh Jabatan Peguam Negara.
  • JKPK memastikan isu yang dibangkitkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-270 diberi pertimbangan dalam memperkukuh kerangka perundangan dan prinsip Raja Berperlembagaan.
  • JKPK memutuskan cadangan pindaan terbaharu akan dimaklumkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang bermesyuarat hari ini mendengar pembentangan dan maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pindaan Perlembagaan tersebut, setelah perkara-perkara yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-270 lalu diteliti.

Dalam satu kenyataan hari ini, JKPK memaklumkan penelitian dibuat terhadap cadangan pindaan yang dikemukakan oleh AGC, khususnya bagi memastikan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh MRR diberikan pertimbangan sewajarnya.

“JKPK telah meneliti cadangan pindaan yang dikemukakan oleh AGC, khususnya bagi memastikan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh MRR diberikan pertimbangan sewajarnya dalam memperkukuh kerangka perundangan bagi pelaksanaan reformasi ini, selaras dengan prinsip Raja Berperlembagaan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

“JKPK kekal komited memastikan reformasi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan secara teliti dan berlandaskan Perlembagaan demi memperkukuh kebebasan institusi pendakwaan, akauntabiliti serta keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” jelas kenyataan itu.

Jawatankuasa itu turut memutuskan supaya cadangan pindaan terbaharu berkenaan dimaklumkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurut kenyataan, mesyuarat tersebut dihadiri oleh Ahli-ahli Jawatankuasa iaitu Ahli Parlimen Pengerang yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Pengerusi.

Ia turut dihadiri Ahli Parlimen Parit Sulong, Selayang, Bangi, Bukit Gelugor, Beluran, Kota Bharu dan Muar.

Manakala Ahli Parlimen Larut, Alor Gajah, Tawau dan Lubok Antu tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Must Watch Video

Advertisement