Skip to main content

Malaysia

35 pegawai, anggota PDRM terima pengiktirafan tolak rasuah - KPN

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata daripada jumlah itu, enam menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Negara, 13 menerima Sijil Penghargaan dan Ganjaran Kewangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala 16 lagi menerima Sijil Penghargaan SPRM. - BERNAMA
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata daripada jumlah itu, enam menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Negara, 13 menerima Sijil Penghargaan dan Ganjaran Kewangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala 16 lagi menerima Sijil Penghargaan SPRM. - BERNAMA

Ringkasan AI

  • Seramai 35 pegawai dan anggota PDRM menerima pengiktirafan atas ketegasan menolak serta melaporkan rasuah pada tahun ini.
  • PDRM merupakan antara agensi kerajaan tertinggi menerima pengiktirafan berkaitan integriti, melibatkan 437 anggota dan pegawai dari 2012 hingga 2025.
  • Ketua Polis Negara menegaskan kepentingan nilai kejujuran, tanggungjawab dan latihan berterusan untuk memperkukuh integriti warga PDRM.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 35 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima pengiktirafan pada tahun ini di atas ketegasan serta keberanian menolak dan melaporkan kegiatan rasuah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata daripada jumlah itu, enam menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Negara, 13 menerima Sijil Penghargaan dan Ganjaran Kewangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala 16 lagi menerima Sijil Penghargaan SPRM.

Beliau berkata berdasarkan statistik SPRM, PDRM adalah antara agensi kerajaan tertinggi yang menerima pengiktirafan berkenaan, iaitu melibatkan sebanyak 437 anggota dan pegawai bagi tempoh 2012 hingga 2025.

Advertisement

"Pencapaian ini membuktikan ketegasan warga pasukan dalam memerangi rasuah, satu pendirian yang wajar dicontohi oleh seluruh warga PDRM," katanya ketika berucap melancarkan Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat PDRM Tahun 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata integriti perlu bermula daripada diri sendiri dengan berpegang kepada nilai kejujuran, tanggungjawab dan ketelitian dalam setiap keputusan yang dibuat.

Advertisement

Beliau berkata sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang negara, setiap tindakan warga pasukan mencerminkan kredibiliti, profesionalisme dan kewibawaan PDRM di mata masyarakat.

Justeru, Mohd Khalid mahu pengukuhan nilai murni dilaksanakan secara berterusan melalui pendidikan dan latihan yang lebih intensif bagi membentuk warga PDRM yang sentiasa memelihara amanah serta memahami batas kuasa.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement